Naib Ketua Wanita Pusat PKR, Faizah Ariffin.

KUALA LUMPUR – Gesaan supaya Nurul Izzah Anwar merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin memuncak apabila beliau turut mendapat sokongan Naib Ketua Wanita Pusat PKR, Faizah Ariffin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Faizah berkata, cadangan itu  satu langkah yang tepat bagi memperkukuhkan barisan kepimpinan PKR berpandukan pengalaman Nurul Izzah yang pernah menjawat naib presiden selain memegang portfolio penting dalam parti dan kerajaan.

“Jawatan nombor dua itu perlu disambut baik memandangkan Nurul Izzah adalah tokoh wanita yang berkaliber untuk memegang posisi tersebut ditambah jawatan itu belum pernah dijawat pimpinan wanita.

“Parti memerlukan tenaga baharu dalam meremajakan parti KEADILAN, justeru saya menyeru kepada semua ahli parti memberi dokongan penuh kepada saudari Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden KEADILAN,” katanya.

Sehingga kini, beberapa cabang PKR dari seluruh negara antaranya Perak; Pahang dan Melaka secara terbuka menyatakan sokongan supaya Nurul Izzah merebut jawatan itu.

Sekiranya disambut, Nurul Izzah akan mencabar penyandang jawatan itu yang juga Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang sebelum ini sudah mengesahkan akan mempertahankan jawatannya.

Lebih menarik, selain Nurul Izzah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut dicadangkan menggalas jawatan itu namun Menteri Dalam Negeri berkenaan sehingga kini masih belum membuat keputusan meskipun tarikh akhir pencalonan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here