Tuesday, May 6, 2025
Home Ekonomi PLKI-ECRL tawar peluang 3,200 peluang pekerjaan kepada anak tempatan

PLKI-ECRL tawar peluang 3,200 peluang pekerjaan kepada anak tempatan

Antara pelajar penerima surat tawaran Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECEL O dan M) ke Luzhou, China selepas selesai Majlis Peluncuran peluang pekerjaan di Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) bakal menjana lebih 3,200 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan menjelang fasa operasi dan penyelenggaraan (O&M) pada Januari 2027.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya yang mengawal selia Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjangkakan 1,800 tenaga kerja diperlukan apabila fasa pengoperasian projek dimulakan ketika itu.

Menurut beliau, sebagai persiapan, seramai 210 pelatih dari Malaysia akan menjalani latihan intensif di Liuzhou, China selama setahun.

Katanya, latihan itu melibatkan teori, praktikal serta pengalaman operasi rel untuk memastikan mereka bersedia menyertai industri rel moden.

“Tenaga kerja ini akan terdiri daripada pelbagai tahap kepakaran, meliputi pekerja berpengalaman dan pekerja baharu, bagi memastikan operasi ECRL dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan.

“Apa yang lebih penting, para pelatih ini dijamin peluang pekerjaan dengan ECRL selepas tamat latihan. Ini bukan sekadar latihan dan ini adalah laluan kerjaya sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL di sini hari ini.

Turut hadir merasmikan majlis itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) meluncurkan peluang pekerjaan dan penyerahan Surat Tawaran Program Latihan Kemahiran Industri ECRL bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan ECRL diiringi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (tiga kanan), Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (tiga kiri), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak (kiri) di Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 MEI 2025

Sebelum ini, Malaysia dan China telah menubuhkan syarikat usaha sama, ECRL Operation Sdn. Bhd. untuk mengendalikan dan menyelenggara ECRL di mana inisiatif ini disokong oleh PLKI-ECRL yang telah diperkenalkan sejak 2017.

Mengulas lanjut, Anthony menambah,  latihan tersebut melibatkan pelbagai bidang seperti penolong pemandu tren juruteknik isyarat, juruteknik overhead line dan Penyelenggaraan EMU & E-Loco dengan kumpulan pertama seramai 102 orang dijadual berlepas ke China bermula 15 Mei ini.

“Ini peluang besar untuk anak-anak muda kita membina kerjaya dalam industri rel moden. Apa yang lebih penting, para pelatih ini dijamin peluang pekerjaan dengan ECRL selepas tamat latihan. Ini bukan sekadar latihan dan ini adalah laluan kerjaya sebenar,” katanya.

Menurut Anthony, penubuhan ECRL Operation, syarikat usaha sama antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dengan pegangan 50:50, bakal memperkasa sektor rel negara menerusi penyertaan besar-besaran tenaga kerja tempatan. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama sebahagian pelajar yang hadir pada Majlis Peluncuran peluang pekerjaan dan penyerahan Surat Tawaran Program Latihan Kemahiran Industri ECRL bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan ECRL di Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 MEI 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here