Oleh: Dr. Mohd Anuar Ramli
IBADAH haji merupakan salah satu daripada rukun Islam. Ia menjadi tuntutan bagi seorang Muslim yang memenuhi kriteria kemampuan (istito’ah). Namun begitu konsep kemampuan ini sukar dimengertikan oleh segelintir pihak kerana keinginan yang mendalam untuk memenuhi tuntutan agama. Mereka sanggup untuk membelakangkan arahan pemerintah setempat dan perundangan Arab Saudi dengan mengerjakan haji tanpa visa yang sah dan tiada permit haji. Mereka memasuki Arab Saudi dengan visa umrah atau visa pelancong dan berada di sana sehingga musim haji. Mereka mengerjakan haji dalam keadaan ketakutan umpama pelarian kerana takut ditangkap oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Senario ini berlaku ekoran tawaran pihak-pihak tertentu terutamanya apabila menghampiri musim mengerjakan haji. Segelintir pihak menawarkan pakej haji DIY (do it yourself) tanpa melalui Tabung Haji atau Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berdaftar. Mereka mengiklankan perkhidmatan mereka di media sosial dan menjanjikan perlaksanaan ibadah haji dengan meyakinkan walau dengan sekadar visa mujamalah atau furada iaitu visa haji di luar kuota rasmi yang diberikan kepada setiap negara oleh kerajaan Arab Saudi, atau lebih nekad mereka akan menyelit dalam keramaian jemaah haji yang sah tanpa visa haji atau tanpa permit mengerjakan haji. Hasilnya, ramai yang terpesona dengan tawaran menarik tersebut bagi melengkapkan tuntutan kefarduan haji.
Hakikatnya, tuntutan ibadat ini mempunyai hubungan yang rapat dengan syarat kemampuan. Ia dirakamkan dengan jelas dalam firman Allah SWT, surah Ali Imran ayat 97, maknanya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya”. Berdasarkan ayat tersebut, kemampuan (istitoah) menjadi persyaratan dalam mengerjakan ibadah haji. Ia merangkumi kemampuan kehartaan atau kewangan, kemampuan fizikal atau kesihatan dan kemampuan keamanan. Dalam konteks ini, kemampuan juga melibatkan giliran yang ditetapkan oleh Tabung Haji.
Sistem kuota dan penggiliran mengerjakan haji bukan bertujuan untuk menghalang umat Islam menyempurnakan kewajipan agama tetapi ia bagi memastikan perjalanan haji lebih teratur, terkawal, selesa dan yang paling penting adalah keselamatan nyawa para jemaah. Dengan kata lain, ia termasuk dalam asas keamanan dalam mengerjakan ibadat haji. Jika ditelusuri dalam sejarah ibadah haji, terdapat beberapa siri tragedi yang mengorbankan nyawa jemaah kerana jumlah mereka yang terlalu ramai. Kebanyakannya adalah akibat kepadatan, rempuhan dan kepanikan. Antara peristiwa tragis termasuklah tragedi Terowong Muassim yang telah mengorbankan nyawa 1426 jemaah pada tahun 1990, rempuhan di Mina yang mengorbankan 364 jemaah pada 2006, dan tragedi runtuhan kren yang mengorbankan 180 nyawa jemaah pada 2015.
Bagi memastikan keadaan lebih terkawal dan kebajikan jemaah yang sah terbela dengan baik, kerajaan Arab Saudi telah mengambil beberapa langkah preventif awal bagi membendung jemaah yang tidak mempunyai visa dan permit haji. Kerajaan Arab Saudi telah menarik sementara visa umrah, visa kunjungan keluarga dan visa pelancongan dan perniagaan bagi mengelakkan penyalahgunaan visa dengan memasuki ke Mekah lebih awal. Kerajaan juga mewajibkan pemakaian kad nusuk ketika jemaah haji berada di Makkah dan Madinah serta ketika pergerakan mereka di Mina, Arafah dan Muzdalifah.
Malahan, sekatan jalan raya dilakukan lebih awal bagi mengelak kemasukan jemaah haji ke Mekah tanpa visa dan permit haji. Bahkan, sebelum waktu kemuncak pelaksanaan ibadat haji, media melaporkan terdapat operasi pemutihan dan penangkapan jemaah haji haram di Arab Saudi dan ada yang dikenakan hukuman disebabkan kesalahan yang dilakukan. Jelasnya, tindakan melaksanakan haji secara haram tanpa visa dan permit haji atau secara DIY perlu mempertimbangkan implikasinya kepada masyarakat Islam yang lain.
Implikasi yang besar daripada tindakan jemaah haji haram ini, sebanyak 14 buah negara yang telah digantung sementara keistimewaan menggunakan visa pelancong bagi mengerjakan ibadah umrah oleh kerajaan Arab Saudi. Ini termasuklah negara jiran seperti Indonesia dan negara India, Bangladesh, Mesir, Iraq, Nigeria, Jordan, Algeria, Sudan, Ethiopia, Tunisia dan Yaman. Ibaratnya, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kepercayaan yang diberikan dan kemudahan visa yang disediakan oleh Arab Saudi telah disalahgunakan dan berisiko untuk ditarik balik hanya kerana ulah segelintir pihak.
Walaupun dari segi hukum fiqah, terdapat ulama yang menyatakan ibadah haji secara haram tersebut adalah sah tetapi ia turut berdosa sebab melanggar perundangan dan membelakangkan aspek keselamatan yang ditetapkan oleh pemerintah. Tindakan kerajaan Arab Saudi mengenakan kuota dan permit haji adalah berdasarkan kemaslahatan. Ini kerana keselamatan jemaah haji dan keselesaan mereka adalah keutamaan pihak kerajaan Arab Saudi.
Jumlah jemaah haji yang melebihi kuota yang ditetapkan boleh mengundang pelbagai risiko disebabkan ruangan tempat ibadat yang terhad seperti padang Arafah dan Mina, kawasan melontar dan sebagainya. Situasi ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah jemaah lain yang berdaftar secara sah kerana terlebih kapasiti dan ruangan, dan kemudahan asas yang terbatas. Ia juga menyebabkan pihak berkuasa Arab Saudi sukar mengawal perjalanan ibadah haji dan sukar menjaga keselamatan jemaah haji.
Sehubungan itu, kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia adalah sangat bernilai kerana manfaatnya boleh dinikmati oleh ramai pihak. Janganlah pentingkan diri sendiri. Beribadahlah dengan sempurna dan patuhilah arahan kerajaan Malaysia dan perundangan Arab Saudi bagi memastikan ibadah yang dilakukan adalah diterima. Ini kerana kemuncak yang didambakan bagi para jemaah haji adalah mencapai haji mabrur.
Jangan biarkan haji sekadar sah tetapi berdosa, sebaliknya kejarlah haji yang sah dan berpahala. Tindakan jemaah yang membelakangkan konsep istitoah adalah tidak tepat kerana ia boleh mendatangkan risiko yang besar di kemudian hari sama ada kepada individu terlibat atau mampu memburukkan citra pengurusan haji dan umrah negara.
Justeru kejarlah haji mabrur, bukan haji lebur yang merempuh dan melanggar perundangan dan hukum Islam.
Penulis adalah Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi, Pengajian Islam, Universiti Malaya