KUALA LUMPUR – Kementerian Digital akan mempercepatkan pelaksanaan Business Digitalisation Initiative (BDI) yang dilancarkan pada bulan lalu bagi membekalkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan kemahiran dan peralatan yang diperlukan untuk transformasi digital.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, BDI yang disokong dengan dana campuran sebanyak RM1.5 bilion merangkumi penyelesaian digital freemium bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan pakej digitalisasi yang komprehensif.
“Selain itu ia merangkumi khidmat nasihat dan penilaian yang disesuaikan serta akses kepada ekosistem bersepadu yang merangkumi kerjasama sektor awam dan swasta,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Gobind, sejak dilancarkan sebulan yang lalu, BDI telah memudahkan lebih 20,000 permohonan untuk pembiayaan daripada rakan strategik seperti Maybank, CapBay, Funding Societies dan Boost.
“Ini adalah hasil kerjasama dengan lebih 50 persatuan perniagaan di seluruh negara,” tambahnya.
Jelasnya, dalam masa sama, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan memulakan pelaksanaan proses Digital Maturity Assessment bermula di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Selangor.
Ujar Gobind, lebih 30,000 PKS telah menyatakan minat untuk menerima bantuan dalam usaha pendigitalan perniagaan mereka.
“Seterusnya, proses tersebut akan turut diperluaskan ke negeri-negeri lain,” tambahnya.
Terdahulu, katanya, kementerian itu menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan sokongan tambahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya demi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global serta tindakan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat baru-baru ini.
“Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memampankan serta memperkasa sektor PKS yang merupakan tunjang ketahanan ekonomi negara,” katanya lagi.
Sebagai rekod, antara inisiatif yang diumumkan adalah jaminan kerajaan tambahan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan bagi memudahkan akses PKS
kepada pembiayaan dalam keadaan mencabar dan pembiayaan pinjaman mudah tambahan sebanyak RM500 juta melalui institusi kewangan pembangunan untuk mengukuhkan aliran tunai dan kesinambungan operasi peniaga kecil.
Selain itu, kerajaan juga bakal memberi suntikan dana sebanyak RM50 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk membantu perusahaan tempatan mengembangkan perniagaan di pasaran antarabangsa melalui penyertaan dalam ekspo, pameran perdagangan serta padanan perniagaan tersusun bersama pembeli luar negara.-MalaysiaGazette