KUALA LUMPUR – Cadangan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin supaya Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diwujudkan sebagai satu entiti sahaja disokong.
Presiden Media Tentera Rakyat (MTR) dan Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia, Datuk Mohd Ali Baharom menganggap cadangan itu menunjukkan Mohamed Khaled seorang pemimpin berjiwa besar.
“Cadangan menyatukan persatuan veteran ATM perlu bagi memantapkan lagi usaha bantuan kepada golongan berkenaan dan tidak lagi secara berasingan seperti sebelum ini,” katanya yang dikenali juga sebagai Ali Tinju.
Beliau yang juga mantan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) itu berkata, pihaknya sedia membantu Mohamed Khaled dalam usaha merealisasikan cadangan berkenaan.
“MTR selama ini sudah terbukti berjaya mengumpul veteran ATM seluruh negara dan membawa suara mereka kepada kerajaan selain membantu kebajikan mereka terutama yang uzur dan sakit,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Terdahulu Mohamed Khaled berkata, apabila persatuan veteran tentera sedia ada digabungkan, ia akan membuatkan suara mereka lebih kuat sekaligus dapat memperkasa perjuangan dan menyusun semula aktiviti dengan lebih berkesan.
“Langkah ini bukan bertujuan menyekat kewujudan persatuan sedia ada tetapi untuk memastikan suara dan isu dibangkitkan veteran dapat diperjuangkan secara kolektif dan dihormati.
“Setiap persatuan ada pandangan masing-masing. Jadi, bila tidak ada penyelarasan, perjuangan itu tidak berkesan dan mungkin tidak dihormati.
“Tujuannya bukan untuk menyekat, tetapi supaya gerakan ini lebih tersusun dan berkesan,” katanya ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Persatuan Veteran ATM (PVATM) kali ke-56 di Tiram, Johor baru-baru ini.
Kata Mohamed Khaled, pada masa ini, terdapat 122 persatuan veteran berdaftar bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan kementerian tidak menghalang penubuhan persatuan baharu selagi memenuhi syarat ditetapkan.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: