Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menggesa kerajaan mempercepat dan meluaskan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mengurangkan tarif, dalam tempoh 90 hari.

Selain itu, kerajaan juga diminta melaksanakan penilaian impak ekonomi secara berkala terhadap sektor terjejas serta mengawal dan menyemak semula pelaburan asing dalam sektor strategik negara.

Biro Politik parti itu menerusi kenyataan berkata, MUDA memandang serius tindakan AS) mengenakan tarif tambahan
sebanyak 24% ke atas eksport Malaysia, berkuat kuasa 9 April 2025.

Ini menjadikan jumlah tarif kepada 34% secara keseluruhan, satu beban besar kepada sektor utama negara termasuk elektrik dan elektronik (E&E), produk getah, minyak sawit, dan jentera perkilangan.

Anggaran kasar menunjukkan lebih RM150 bilion nilai eksport Malaysia ke AS kini terdedah kepada kesan langsung.

Jelas MUDA, ini menambahkan ketidaktentuan terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai margin keuntungan kecil.

Lantaran itu, MUDA menggesa kerajaan untuk bertindak tegas, telus dan berpaksikan kepentingan rakyat dalam menangani cabaran ini.

Jelasnya, walaupun Malaysia bukan kuasa besar, namun negara ini mempunyai suara, maruah dan prinsip.

“Dalam dunia yang sedang terbelah akibat konflik perdagangan dan geopolitik, kebijaksanaan dalam dasar luar dan ekonomi adalah benteng terbaik negara,” katanya hari ini.

Menurutnya, Malaysia juga perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dalam persaingan strategik antara AS dan China, khususnya melibatkan isu keselamatan di Laut China Selatan.

“Dalam landskap geopolitik yang semakin genting, China pula memperkukuh kehadiran ekonominya di rantau ini, termasuk di Malaysia,” katanya.

Menurut parti ini, kerajaan perlu mengamalkan pendekatan berkecuali demi kepentingan negara jangka masa panjang.

Ini termasuklah demi kepentingan kedaulatan maritim, kawalan terhadap pelaburan asing, dan keutuhan dasar perdagangan bebas, perlu dikekalkan.

Dalam masa yang sama, parti itu berkata Malaysia juga mesti mengekalkan hubungan erat dengan rakan dagang lain seperti ASEAN, Kesatuan Eropah, dan India, serta memanfaatkan platform seperti RCEP dan BRICS untuk mempelbagaikan pasaran eksport.

Sehubungan itu katanya, kerajaan khususnya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) perlu lebih agresif dan strategik dalam memastikan kepentingan eksport negara terus terpelihara.

“Walaupun Malaysia menerima pengecualian sementara untuk beberapa produk seperti semikonduktor dan peranti telekomunikasi, ia hanya tertakluk kepada semakan setiap suku
tahun,” ujarnya.

Selain mempersoalkan perkembangan rundingan antara Malaysia dengan AS setakat ini, MUDA ingin kerajaan menjelaskan langkah yang diambil bagi mengimbangai tekanan tarif daripada negara tersebut.

“Apakah pelan mitigasi jika pengecualian semasa ditarik balik pada semakan akan datang?

“Apakah jaminan bahawa pelaburan China tidak memberi kesan terhadap kedudukan strategik Malaysia di Laut China Selatan? dan bilakah pelan tindakan menyeluruh akan dibentangkan kepada Parlimen dan rakyat,” soal parti itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here