Ramai dalam kalangan ketua-ketua Cabang PKR tampil menyokong Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan nombor dua parti.

KUALA LUMPUR – Puteri Reformasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar terus mendapat sokongan untuk bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti hujung bulan ini.

Pelbagai pemimpin akar umbi menyifatkan beliau sebagai calon paling sesuai untuk memperkukuh masa depan parti keadilan itu.

Menurut Ketua Cabang PKR Batu Gajah, Tamil Selvan, sudah tiba masanya seluruh cabang tampil menyatakan pendirian jelas dan menyokong kepimpinan yang berprinsip dan berpengalaman.

“Ini adalah waktu terbaik untuk kita mengangkat seorang pemimpin yang telah berjuang sejak awal dan banyak berkorban demi parti. Nurul Izzah telah melalui pelbagai cabaran getir dalam sejarah perjalanan PKR,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Beliau menegaskan, PKR memerlukan barisan kepimpinan yang kuat dan stabil untuk menghadapi cabaran politik akan datang termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Johor, Melaka serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Nada yang sama turut disuarakan Ketua Cabang Kuala Selangor, M Sivabalan yang menyifatkan Nurul Izzah sebagai pemimpin berjiwa reformasi dan konsisten sejak zaman perjuangan parti di jalanan.

“Nurul bukan pemimpin bermusim yang muncul hanya ketika pemilihan. Beliau sentiasa berada di medan perjuangan parti sejak era reformasi sehingga PKR berjaya menawan Putrajaya.

“Akar umbi mahukan satu keputusan politik yang kukuh daripada pimpinan pusat demi memperkukuh dan memperkasakan parti,” ujarnya.

Sokongan turut diterima daripada Ketua Cabang Seremban, Noor Iskandar Mohamed Noor yang menolak sebarang dakwaan tentang kewujudan dinasti politik dalam pencalonan Nurul Izzah.

“Dalam parti lain seperti DAP dan UMNO, perkara ini juga pernah berlaku. Yang penting adalah prestasi, kredibiliti dan ketokohan seseorang pemimpin. Beliau telah membuktikan rekod dan komitmennya dalam jatuh bangun PKR,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cabang PKR Hulu Langat, Rajen Munusamy turut menyuarakan sokongan penuh terhadap pencalonan Nurul Izzah untuk jawatan nombor parti itu kerana pendirian anak Perdana Menteri itu sentiasa yang konsisten dan berpengalaman luas dalam pentadbiran dan perjuangan parti.

“PKR memerlukan seorang pemimpin yang teguh dengan idealisme reformasi seperti Nurul Izzah. Sudah tiba masanya kepimpinan tertinggi parti, termasuk Presiden, membuat keputusan politik yang tepat dan berpandangan jauh.

“Ini demi membina pasukan kepimpinan yang mantap serta mengelak daripada terus terjebak dalam percaturan politik retorik. Masa ini sangat penting kerana kepimpinan seperti inilah yang akan terus berpaksikan kebajikan rakyat pada masa-masa akan datang,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here