Presiden ABIM
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

 

KUALA LUMPUR – Perubahan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun yang dijadual berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Januari 2026 akan memberi kesan kepada struktur kepimpinan dan penyertaan dalam pertubuhan belia.

Apatah lagi, kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, had umur yang dikemukakan pertubuhan-pertubuhan belia kepada 35 tahun ketika itu telah dikesampingkan walaupun komitmen untuk menerima cadangan tersebut telah dinyatakan sebelum pindaan akta tersebut dibuat.

Ujar beliau, proses membentuk kepimpinan untuk pertubuhan belia tidak mudah memandangkan persatuan-persatuan beliau itu sudah berakar umbi di dalam masyarakat semenjak sekian lama serta diuruskan secara profesional.

Bahkan, tambahnya, majlis-majlis belia serta organisasi naungan pertubuhan belia telah menggerakkan aktiviti masyarakat yang terbukti berjaya menghindarkan golongan muda daripada terjebak dalam gejala sosial termasuk ektremisme berasaskan agama dan perkauman.

“Negara juga bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 yang perlu dibuat menjelang akhir 2027.

“Berdasarkan trend penurunan pembabitan golongan belia pada ketika ini, keadaan diramalkan akan menjadi lebih buruk selepas 2026.

“Ini akan membuka jurang yang sangat besar sehingga ke akar umbi di mana masyarakat serta negara pasti akan merasai kesan buruknya.

“Justeru, kesan terhadap perkara ini perlu diberi perhatian oleh Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan had umur 30 tahun bagi belia di Malaysia akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 dan had umur belia ketika ini ialah 40 tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kerajaan menetapkan tarikh kuat kuasa bagi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] pada 1 Januari 2026.

Sementara itu, tambah Ahmad Fahmi, pengaruh pengundi muda juga telah terbukti pada PRU-15 serta PRN 2023 dan keadaan itu dijangka tidak terkecuali pada masa akan datang.

Sehubungan itu, katanya, adalah wajar ruang masa diberikan kepada pertubuhan-pertubuhan belia di negara sehingga selepas selesai PRU-16.

Jelasnya, dengan penangguhan itu juga, ABIM serta pertubuhan-pertubuhan belia di negara ini komited mengisi ruang pembangunan kepimpinan serta sahsiah dalam kalangan para pelajar di sekolah sehingga institusi pengajian tinggi (IPT).

“Dengan sela masa ini juga pertubuhan-pertubuhan belia dapat memastikan transisi kepimpinan di akar umbi dapat dijalankan dengan lancar.

“Harus diingat bahawa pelatihan transisi bukan sekadar hanya mengisi tempat yang akan dikosongkan semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here