Ahmad Zamry (dua kiri) menunjukkan buah kelapa sawit dan kereta yang dirampas, selepas sidang akhbar di IPD Segamat, Segamat, hari ini.

SEGAMAT – Polis menahan seorang penagih dadah yang sedang menjual buah kelapa sawit curi dalam serbuan di sebuah pusat jual beli sawit (REM) di Pogoh, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, perbuatan suspek sebelum itu berjaya dihidu pemilik kebun kelapa sawit selepas beberapa kali kecurian berlaku sebelum ini.

Menurutnya, selepas kecurian buah kelapa sawit berlaku, pemilik kebun sawit tersebut membuat intipan pada pagi kelmarin.

“Menurut pemilik kebun berkenaan, selepas menunggu beberapa minit di kawasan kebunnya, sebuah kereta Toyota Vios putih yang dinaiki suspek muncul di kebun miliknya.

“Suspek kemudian mengambil beberapa tandan kelapa sawit sekitar kebun untuk dimuatkan ke dalam tempat simpanan barang dan tempat duduk belakang kereta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, di sini, hari ini.

Katanya, pemilik kebun kemudian mengekori kereta suspek ke sebuah REM berhampiran sebelum menghubungi pihak polis.

Pihak polis katanya, menyerbu dan menangkap suspek yang terkejut sehingga tidak sempat melarikan diri.

Ahmad Zamry berkata, polis merampas beberapa tandan kelapa sawit berharga RM2,000 dan turut menahan penjaga REM tersebut iaitu lelaki berusia 20-an serta merampas resit jual beli dan kereta yang digunakan suspek.

“Kedua-duanya masing-masing berusia 20-an, dipercayai penagih dadah yang sudah lama mencuri kelapa sawit pekebun di sekitar  Pogoh sejak April lalu,” katanya.

Ujar beliau, kedua-dua suspek direman tiga hari bermula semalam hingga 7 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here