KUALA LUMPUR – Bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) B, Rosle Md Derus diumumkan sebagai Pengarah Teknikal Penang FC yang baharu dalam Liga Super musim depan.
Pelantikan beliau dibuat pengurusan Sang Harimau Kumbang menerusi satu kenyataan media rasmi kelab itu.
Rosle dibawa masuk menggantikan penyandang sebelumnya yang juga bekas tonggak import Penang, Merzagua Abderrazak.
“Penang FC dengan ini ingin mengumumkan pelantikan Rosle Md Derus sebagai Pengarah Teknikal baharu kelab bagi memperkukuhkan lagi struktur teknikal dan pembangunan bola sepak Harimau Kumbang menjelang musim akan datang.

“Berpengalaman luas dalam dunia bola sepak Malaysia, membawa bersama rekod pencapaian yang mengagumkan sebagai pemain dan jurulatih.
“Beliau pernah mewakili negara dalam kejohanan berprestij seperti Piala Dunia Remaja FIFA 1997 serta Kelayakan Sukan Olimpik 2000 selain membantu pasukan negeri seperti Kuala Lumpur dan Perlis meraih kejuaraan dalam Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan Liga Super,” kata kelab itu.