KUALA LUMPUR – Seramai 30 individu akan dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Tinggi pada perbicaraan kes 14 tertuduh yang didakwa menculik seorang lelaki warga Palestin, Omar Z. M. Albelbaisy.
Timbalan Pendakwa Raya Harvind Raja Gopal memaklumkan, pihaknya masih dalam proses melengkapkan pernyataan saksi dan akan diserahkan kepada pasukan pembelaan dalam tempoh dua minggu.
Perbicaraan dijadual didengar pada 7 hingga 11 Julai ini.
“Kami akan memberi senarai nama saksi-saksi itu kepada barisan peguam yang mewakili semua tertuduh, dua minggu lagi,” kata Harvind.
Sementara itu, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Rozaliana Zakaria berkata, selain kes culik, seramai 35 saksi lagi akan dipanggil memberi keterangan melibatkan pertuduhan pengubahan wang haram yang mana ia membabitkan tiga lagi tertuduh.
“Penyataan saksi adalah membabitkan pegawai bank dan ia akan disediakan sebelum perbicaraan berlangsung,” kata Rozalina.
Hakim K. Muniandy menetapkan 23 Mei depan untuk pengurusan kes seterusnya dan mengecualikan kehadiran semua tertuduh.
Mereka ialah Eddy Ko’im Said, 45, Mohamad Norakmal Hassan, 46, Dody Junaidi, 47, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 44, Mohamad Naziree Mustapha, 44, Faizull Hardey Mohd Isa, 45, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 30.

Selain itu ialah Mohamad Sufian Saly, 28, Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 26, Nidarahayu Zainal, 39, dan Raibafie Amdan, 44, Mohd Zaidi Mohd Zain, 59, Mohd Azwan Jamaludin, 42, dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54.
Selepas mendengar perkara itu, Hakim K. Muniandy menetapkan 23 Mei depan untuk pengurusan kes seterusnya dan mengecualikan kehadiran bagi semua tertuduh.
Sebelum ini semua tertuduh dibenar diikat jamin RM50,000 setiap seorang.
Bagi pertuduhan culik, 14 tertuduh itu didakwa secara niat bersama menahan lelaki Palestin itu untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang, di sini pukul 10.40 malam 28 September 2022 yang mana pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara tiga lagi individu iaitu Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri, Nidarahayu serta Raibafie didakwa atas atas 19 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM250,000.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pertuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, peguam Norma Goh Kim Lian hadir bagi 11 tertuduh iaitu Mohamad Norakmal, Dody, Tengku Arif, Mohamad Naziree, Faizull Hardey, Muhammad Iqmal, Mohamad Sufian, Nidarahayu, Raibafie, Mohd Zaidi dan Tengku Hazarul.
Sementara peguam Adi Zulkarnain Zulkafli mewakili Muhammad Al Hatim; Simran Kaur (Edy Ko’im) dan Muhammad Amin Abdullah hadir bagi pihak Nidarahayu bagi kes culik.
Pada 5 Oktober 2022, media melaporkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 28 September tahun sama.
Mangsa dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September 2022. – MalaysiaGazette