Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra dengan veteran ATM yang hadir Projek Jana Veteran Boustead Plantations Berhad di Ladang Telok Sengat, Kota Tinggi, hari ini

KOTA TINGGI – Ketegangan Pakistan dan India yang semakin memuncak ketika ini tidak memberi kesan kepada 21 anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang mengikuti kursus ketenteraan di dua negara tersebut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka berada dalam keadaan selamat yang melibatkan 18 anggota berada di kolej ketenteraan di India, manakala tiga lagi di kolej ketenteraan di Pakistan.

“Kesemua mereka tidak berada di kawasan konflik atau lokasi yang terlibat dengan serangan sempadan antara Pakistan dan India. Mereka selamat dan majoritinya dijangka menamatkan kursus pada akhir tahun ini.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan semasa di kedua-dua negara bagi memastikan keselamatan anggota dan pegawai ATM sentiasa terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Projek Jana Veteran Boustead Plantations Berhad di Ladang Telok Sengat di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Boustead Plantations Berhad, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh.

Sebelum ini, media melaporkan ketegangan antara India dan Pakistan kini memuncak selepas tentera India didakwa telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas tiga lokasi di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan.

Agensi berita Reuters melaporkan kejadian tembakan artileri berat dan letupan kuat di beberapa kawasan sempadan di Kashmir yang ditadbir Pakistan.

Ini selepas India mengumumkan telah melancarkan serangan ke atas ‘infrastruktur pengganas’ di sembilan lokasi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast