Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau mencintai tugas yang ada sekarang dan tidak bercadang untuk kembali sebagai pemimpin pusat PKR.
Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar menerima sokongan majoriti daripada Cabang-Cabang PKR Negeri bagi bertanding jawatan nombor dua dalam parti berbanding penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli dan seorang lagi yang disebut-sebut untuk bertanding jawatan itu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sehingga artikel ini ditulis pada 5 petang hanya kepimpinan dari Kedah masih belum mengeluarkan kenyataan sokongan kepada pemimpin yang dirasakan layak untuk menjawat jawatan tersebut.

Sokongan yang diterima Nurul Izzah begitu padu dengan lebih 150 cabang PKR menyatakan persetujuan terhadap pencalonan beliau.

Di Pulau Pinang, Nurul Izzah menerima sokongan daripada sembilan daripada 13 Ketua Cabang di negeri itu termasuk penyandang Ketua Wanita Fadhlina Sidek (Nibong Tebal) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru).

Di Perlis kesemua tiga Ketua Cabang iaitu Noor Amin Ahmad (Kangar), Manivanan Karuppiah (Arau) dan Datuk Wira Zainol Samah (Padang Besar) menzahirkan sokongan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama.

Sebanyak 22 daripada 24 cabang PKR di Perak dilaporkan menyatakan sokongan terbuka kepada penyandang Naib Presiden PKR itu untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti bagi sesi 2025–2028.

Manakala di Wilayah Persekutuan kesemua 13 Ketua Cabang menyokong Nurul Izzah yang disifatkan sebagai pemimpin yang sebati dengan perjuangan parti dan berpengalaman luas dalam mendepani pelbagai cabaran politik. Ini termasuk Syed Badli Shah (Titiwangsa), Afdlin Shauki (Setiawangsa) dan Asheeq Ali (Batu),.

Seramai 19 daripada 22 Ketua Cabang di Selangor turut tampil menyatakan sokongan terbuka terhadap pencalonan Nurul Izzah,

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari antara yang menyokong berkata, Nurul Izzah dianggap sebagai simbol keteguhan prinsip dan keberanian perjuangan sejak awal era reformasi.

Sementara enam daripada lapan Ketua Cabang PKR Negeri Sembilan menyatakan sokongan termasuk Jufitri Joha (Rembau) dan V Raja (Tampin).

Di Melaka lima daripada enam Ketua Cabang menyokong Nurul Izzah termasuk Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (Hang Tuah Jaya).

Seramai 22 daripada 26 Ketua Cabang PKR Johor turut menyatakan sokongan kepada anak Perdana Menteri itu. Empat cabang yang tidak menandatangai sokongan adalah Johor Bahru, Ledang, Batu Pahat dan Simpang Renggam.

Manakala di Kelantan 13 daripada 14 Ketua Cabang menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah.

Di Sabah sebanyak 21 daripada 25 cabang menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkat, Nurul Izzah merupakan seorang tokoh wanita muda yang berprinsip, berwibawa dan berpengalaman luas dalam perjuangan reformasi sejak lebih dua dekad lalu.

Sarawak pula seramai 24 daripada 40 Majlis Pimpinan Negeri menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan 23 Mei ini.

Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk Seri R Ramanan hari ini berkata, lebih 150 daripada 222 cabang PKR menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan kali ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here