Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

HULU LANGAT – Negara kini berhadapan dengan cabaran yang amat nyata berhubung keterjaminan air.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, meskipun Malaysia menerima kadar hujan yang tinggi, namun ia turut terkesan dengan perubahan iklim.

Katanya, keterjaminan air semakin terancam akibat pencemaran sungai oleh sisa industri, pembuangan bahan kimia, pembangunan yang tidak terkawal serta permintaan yang terus meningkat seiring pertambahan penduduk dan urbanisasi.

“Kesan perubahan iklim pula menjadikan keadaan lebih kompleks, banjir besar di luar musim dan gangguan terhadap sumber air mentah yang mana semuanya memberi impak kepada sistem bekalan air negara.

“Apa yang lebih membimbangkan kita adalah sikap yang tidak mengamalkan penjimatan air, pembaziran air yang berleluasa, pembuangan sampah di sungai, infrastruktur yang ketinggalan zaman, dan tahap kesedaran awam yang masih rendah menjadikan cabaran ini semakin meruncing.

“Sebab itulah, saya sekali lagi ingin menegaskan dengan penuh keprihatinan, keterjaminan air mesti dijadikan sebagai keutamaan nasional. Melalui pelancaran Pelan Transformasi Sektor Air Negara 2040 (AIR2040), kita telah meletakkan satu kerangka strategik dan holistik untuk mentransformasi sektor air negara,” katanya yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Bijak Air Madani di Loji Rawatan Air Langat 2, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Fadillah berkata, AIR2040 memberi tumpuan kepada pemodenan infrastruktur air, penyelidikan terhadap punca pencemaran, penggunaan teknologi baharu seperti penuaian air hujan dan sistem rawatan semula air serta kerjasama merentas sektor bagi memastikan air bukan sahaja mencukupi, malah, kekal lestari untuk generasi akan datang.

Jelasnya, agenda itu adalah selari dengan visi Malaysia Madani yang menekankan aspek kemampanan, kesejahteraan dan keterjaminan.

Kata beliau, usaha dan pendedahan yang meluas mengenai betapa pentingnya keterjaminan air perlu dilakukan kerana semua kebimbangan yang dinyatakan sebelum ini memberi kesan antara generasi.

Ujarnya, generasi kini boleh dikatakan berhutang dengan generasi akan datang untuk melaksanakan usaha sekarang yang boleh menjadikan kehidupan masa depan mereka lebih baik daripada kita.

“Justeru itu, kementerian kini giat memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap pencemaran sumber air dengan meminda Akta Industri 5 Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), memperluas sistem pemantauan di setiap lokasi, serta memperkenalkan pelbagai inisiatif pendidikan dan kempen kesedaran termasuklah kempen Bijak Air Madani.

“Ini semua adalah usaha bersepadu untuk memastikan bahawa setiap titisan air dijaga dan tidak dibazirkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, Kempen Bijak Air Madani yang dilancarkan hari ini membawa satu dimensi baharu yang menyeluruh, progresif dan berimpak tinggi.

Katanya, ia bukan sekadar kempen komunikasi biasa, tetapi sebuah gerakan nasional yang menuntut kesedaran, tindakan dan tanggungjawab kolektif seluruh rakyat Malaysia.

Dirangka atas empat tonggak utama iaitu, Sustainability (Kelestarian), Preservation (Pemeliharaan), Advocacy (Advokasi) dan Nurture (Asuhan), Kempen Bijak Air Madani menyatukan pendidikan, penglibatan pelbagai pihak dan perubahan tingkah laku secara menyeluruh.

“Pendidikan tentang kelestarian bukan lagi pilihan, tetapi tuntutan masa kerana tabiat kita hari ini akan menentukan nasib generasi akan datang.

“Saya dengan sukacitanya menyeru setiap individu untuk menjadi agen perubahan dengan sama-sama menggunakan air secara berhemah,” katanya.

Beliau menambah, generasi muda sebagai pemimpin masa depan perlu didedahkan dalam pemuliharaan air melalui program pendidikan dan platform kreatif seperti Pertandingan Video Pendek Bijak Air. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here