Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Meskipun tidak sehebat dan sekuat dahulu, UMNO tetap dilihat sebagai sebuah parti yang mempunyai keupayaan dan kekuatan untuk menyumbang kepada bangsa dan negara.

Lantaran itu, sehingga ke hari ini, UMNO kekal sebagai sebuah parti yang menjuarai isu  melibatkan bangsa Melayu dan agama Islam, dalam apa jua jajaran politik yang dipilih, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, UMNO telah menabur jasa dan mencurah bakti membina dan membangunkan negara ini dalam kapasiti yang pelbagai sepanjang tempoh 79 tahun penubuhannya.

“UMNO tidak pernah sesekali menggadaikan prinsip dan nilainya. Ia kekal sebagai sebuah parti yang menerapkan ‘kesederhanaan’.

“Nilai-nilai baik dan unggul. Jauh sekali ekstrem dan radikal,” katanya sempena sambutan ulang tahun ke-79 parti tersebut hari ini.

Bagaimanapun, Khaled akui untuk mengembalikan kepercayaan dan memulih keyakinan rakyat tidak datang dengan mudah.

Namun, ia adalah suatu proses yang perlu dilalui dengan usaha dan daya serta strategi dan kebijaksanaan.

“Alhamdulillah, dalam beberapa pilihan raya kecil yang UMNO lalui, kita berjaya meraih kejayaan. Kejayaan ini tidak hadir hanya kerana jajaran politik kita kini.

“Tetapi atas hasil usaha berterusan kalian sebagai ahli parti,” ujarnya sambal menzahirkan rasa terima kasih atas kesetiaan dan pengorbanan ahli-ahli kepada parti, demi agama, bangsa dan tanah air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here