KUALA LUMPUR – UMNO masih berdiri lagi pada hari ini bukan kerana nostalgia semata-mata tetapi kerana rakyat masih melihat peranannya sebagai penjaga maruah agama dan bangsa, pengimbang kuasa dalam kerajaan, dan penentu arah masa depan negara.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, UMNO kekal utuh kerana menjunjung disiplin dalam kepimpinan, membina keyakinan bersama akar umbi, dan sentiasa menyambut perubahan dengan berani demi kelangsungan perjuangan.
Tegas beliau, disiplin merupakan asas kekuatan UMNO yang membentuk cara memimpin, menyatukan ahli dalam perbezaan, dan memastikan parti sentiasa bergerak dengan tertib dan teratur.
Jelsnya, disiplin bukan sekadar soal peraturan tetapi cerminan maruah, kematangan dan komitmen terhadap perjuangan.
Beliau berkata, musim persidangan cawangan yang sedang berlangsung membuktikan nilai ini terus subur dalam setiap lapisan kepimpinan dan keahlian UMNO.
Ribuan mesyuarat telah berjalan dalam suasana harmoni tanpa kekecohan, pergaduhan ataupun kehilangan kawalan, bahkan setiap usul dibahaskan dengan semangat kekeluargaan dan rasa hormat terhadap proses.
Lebih penting, kehadiran yang tinggi di seluruh negara menjadi petanda jelas UMNO terus diyakini oleh akar umbinya sebagai wadah utama perjuangan.
“Disiplin yang sama terserlah dalam setiap medan pilihan raya yang kita tempuhi. Dari Pelangai ke Nenggiri, Mahkota hingga Ayer Kuning, jentera UMNO sentiasa tampil dengan kesatuan dan ketertiban yang mengagumkan.
“Mereka hadir bukan sekadar sebagai sukarelawan, tetapi sebagai pejuang yang memahami amanah. Mereka berganding bahu, bergerak dengan semangat, dan menyempurnakan tugas tanpa menuntut balasan.
“Budaya inilah yang membezakan UMNO daripada parti politik yang lain. Kita tidak berundur kerana kecewa. Kita tidak menghukum apabila tidak dipilih. Kita setia kerana percaya bahawa perjuangan itu lebih besar daripada individu.
“Selagi disiplin ini menjadi teras, UMNO akan terus dipercayai. Bukan sahaja dalam kalangan ahli, tetapi dalam pandangan rakyat yang mendambakan kepimpinan yang bertanggungjawab, matang dan berwibawa,” katanya sempena ulang tahun UMNO ke-79.
Azalina menyifatkan ulang tahun ke-79 ini bukan sekadar untuk mengingati sejarah, sebaliknya lambang kepada nilai kebijaksanaan, kesetiaan dan kecekalan UMNO menghadapi cabaran.
Beliau yakin UMNO kekal sebagai salah satu gerakan politik paling berpengaruh di negara ini kerana sentiasa bersedia membaca zaman dan mendahului perubahan.
Jelas beliau, keupayaan menyesuaikan diri, memperkukuh kekuatan, dan membina semula apabila perlu adalah kunci kepada kelangsungan UMNO.
“Dalam sejarah panjang perjuangan ini, UMNO telah membuktikan beberapa kali kesediaannya untuk membentuk kerjasama demi kestabilan negara, selagi asas dan prinsip perjuangan parti tidak dikorbankan.
“Kita tidak sekadar mempertahankan legasi, tetapi sedang membina masa depan. Inisiatif seperti Sekolah Patriotik UMNO melahirkan generasi pelapis yang celik sejarah, mahir teknologi, dan memahami denyut nadi rakyat. Kita memperkukuh jentera digital, mengangkat suara akar umbi ke ruang maya, dan membentuk naratif yang lebih segar dan inklusif untuk mendekati generasi muda yang semakin kritikal dan berani bersuara.
“Perubahan ini bukan bersifat kosmetik. Ia lahir daripada kesedaran bahawa UMNO mesti kekal sebagai parti yang bukan sahaja mewakili sejarah, tetapi juga memimpin masa hadapan,” ujarnya.
Azalina berkata, UMNO sedang bergerak ke hadapan dengan tekad, bukan untuk bertahan, tetapi untuk memimpin kerana hanya parti yang berani berubah akan kekal menjadi sandaran rakyat menghadapi cabaran yang semakin mencabar.
“Kita tidak boleh terus melangkah dengan bayang-bayang semalam. Kita hanya akan mara jika kita menyusun langkah dengan yakin, memperkukuh saf dengan semangat kekeluargaan, dan menghidupkan semula iltizam asal perjuangan ini.
“Saya menyeru seluruh keluarga besar UMNO untuk menjadikan ulang tahun ke-79 ini bukan sekadar detik peringatan, tetapi titik permulaan. Mari kita buktikan bahawa UMNO bukan satu peninggalan sejarah, tetapi peneraju masa depan negara.
“Dengan disiplin sebagai asas, akar umbi sebagai kekuatan, dan keberanian untuk berubah sebagai senjata, UMNO akan terus berdiri sebagai benteng keyakinan bangsa,” tambahnya. – MalaysiaaGazette