Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus)  dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor, akan memperluaskan waktu operasi lorong bas Jalan Ampang ke waktu puncak petang bermula 19 Mei 2025.

Operasi lanjutan ini akan berlangsung setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 4.30 petang hingga 7 malam.

Pelaksanaan ini melibatkan jarak sepanjang 0.62 kilometer yang merangkumi persimpangan Jalan Memanda 1 hingga ke persimpangan Jalan Memanda 9 dan persimpangan Jalan Cengal hingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Wawasan Ampang

Perluasan waktu operasi ini akan memberi manfaat kepada penumpang beberapa laluan utama seperti laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang) dan laluan 303 (Hentian Mulia Jaya – Lebuh Ampang), selain laluan bas perantara dari kawasan Pandan Indah, Bukit Indah,
Mulia Jaya dan Lembah Jaya.

Sejak diperkenalkan pada 3 Julai 2023, lorong bas Jalan Ampang telah menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Statistik menunjukkan peningkatan purata penumpang harian daripada 12,819 kepada 14,424 orang, pertambahan sebanyak 12.52%.

Selain itu, masa perjalanan penumpang juga telah berjaya dikurangkan antara 10 hingga 15 minit.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, pihaknya yakin kelancaran perjalanan dan penjimatan masa yang dicapai hasil inisiatif ini akan terus menarik lebih ramai pengguna untuk beralih kepada pengangkutan awam.

Beliau turut menyeru semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan tidak menyalahgunakan lorong bas demi kepentingan bersama.

Penilaian prestasi lanjutan operasi ini akan dijalankan selama tiga bulan oleh Rapid Bus bersama JKR, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ke atas kedua-dua kawasan yang terlibat.

Penilaian ini akan merangkumi aspek seperti masa perjalanan, kelajuan komersial bas, keselamatan jalan raya serta tahap kesesakan lalu lintas di kawasan terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast