Dua tekong dan 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu serbuan Op Taring Wawasan di sebuah rumah di Lorong Dato Kadok, Ketereh, Kota Bharu, kira-kira jam 11.30 pagi, semalam. Ihsan Foto : PGA

KUALA LUMPUR – Dua tekong dan 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu serbuan Op Taring Wawasan di sebuah rumah di Lorong Dato Kadok, Ketereh, Kota Bharu, kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika serbuan dijalankan, dua lelaki tempatan yang disyaki tekong berada di dalam sebuah kereta di hadapan rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 11 lelaki warga Bangladesh serta 24 PATI warga Myanmar, termasuk lima wanita, berada di dalam rumah tersebut.

“Siasatan mendapati kesemua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar tidak mempunyai cop masuk yang sah di dalam pasport.

“Manakala yang lain langsung tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua PATI berkenaan dipercayai diseludup masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan oleh kedua-dua tekong berkenaan yang masing-masing berusia 31 dan 57 tahun.

“Kesemua PATI ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua tekong terbabit ditahan di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati seorang daripada tekong positif dadah jenis methamphetamin,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here