GEORGE TOWN – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempersoalkan pemberian bonus sehingga enam bulan gaji kepada kakitangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada Februari lalu, meskipun agensi itu sedang berdepan pelbagai kontroversi termasuk kelewatan projek, penjualan tanah yang diragui serta hutang besar kepada kerajaan negeri.
Guan Eng (DAP – Air Putih) berkata, pemberian bonus itu menimbulkan persoalan besar mengenai keutamaan serta integriti pengurusan kewangan PDC, apatah lagi ketika kerajaan negeri sedang berdepan defisit yang membimbangkan.
“Siapa yang menerima bayaran bonus enam bulan ini? Adakah ini satu layanan yang adil kepada agensi yang terpalit dengan pelbagai isu kontroversi seperti kelewatan projek, rundingan terus jual beli tanah yang diragui dan hutang beratus juta ringgit?” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih atas titah Yang Dipertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib pada pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Guan Eng turut membidas kelewatan projek pelebaran Jalan Perusahaan ke Jalan Tok Kangar di Seberang Perai Tengah bernilai RM21.6 juta, yang sepatutnya siap pada Julai 2021 tetapi kini hanya dijangka siap menjelang akhir 2026.
“Adakah tindakan telah diambil terhadap kontraktor dan pegawai PDC yang bertanggungjawab? Apa jaminan projek ini tidak terus tertangguh dan membazirkan wang rakyat?” soalnya.
Selain itu, Guan Eng turut membangkitkan persoalan berkaitan penjualan tanah seluas 226.2 hektar di Byram/Changkat yang sebelum ini dijual secara rundingan terus kepada UMECH Construction Sdn Bhd pada harga RM646 juta namun, penjualan tersebut dibatalkan selepas menerima kritikan awam dan digantikan dengan tender terbuka.
Katanya, harga tender terbuka sebanyak RM818 juta ini adalah RM172 juta, atau 27 peratus, lebih tinggi berbanding harga rundingan terus sebanyak RM646 juta.
“Bagaimanapun, tender tersebut ditolak dan tanah itu dikatakan akan dijual semula dengan harga tender baharu yang lebih rendah.
“Adakah benar harga baharu ini lebih rendah daripada RM818 juta? Apakah jaminan bahawa harga jualan dalam tender semula ini akan melebihi RM818 juta?” soalnya. – MalaysiaGazette
















