Pempengaruh dan usahawan, Siti Suriani Wahiddin atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall bersama suaminya, Aiman Tak Kesah.

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Aiman Tak Kesah mengakui  hanya berniat untuk melafazkan talak dua terhadap  Siti Jamumall namun terkejut apabila dimaklumkan oleh peguam yang kesemua talak itu telah jatuh secara sah.

Perkara itu didedahkan Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman dalam satu siaran langsung di platform TikTok yang turut memperlihatkan beliau meluahkan kekesalan terhadap ketidaksempurnaan dirinya dalam melayari rumah tangga.

“Niat aku nak talak dua sahaja tapi ada peguam dari mahkamah syariah kata yang sebenarnya dah jatuhkan kesemua talak. Aku pun tak tahulah, kena tunggu keputusan mahkamah,” katanya.

Pengakuan itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pengikutnya memandangkan talak yang dilafazkan secara terbuka ketika pertengkaran dalam siaran langsung TikTok sebelum ini merupakan kali kedua pasangan tersebut bercerai.

Insiden itu menyusuli satu pertelingkahan yang menurut Aiman berpunca daripada salah faham ketika beliau cuba menunjukkan hasil kerjanya kepada isterinya.

“Malam itu sebenarnya aku nak tunjuk hasil yang aku dapat. Baru balik kerja cari emas tapi kena tuduh bukan-bukan,” ujarnya.

Menurut Aiman yang kini berusia 22 tahun, kegagalan rumah tangganya banyak berpunca daripada kekurangan ilmu agama sejak awal perkahwinan mereka.

“Aku pun satu juga, tak ada ilmu pergi kahwin. Alif ba ta pun tak tahu. Gagal didik isteri, kahwin lagi. Habis punah rumah tangga,” katanya menjawab soalan netizen mengenai status perkahwinannya dengan Siti.

Untuk rekod, Aiman dan Siti, atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahidin, berkahwin di Satun, Thailand pada Jun tahun lalu.

Sebelum itu, Siti pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohammad Syafiq pada 2019 namun berpisah tiga tahun kemudian. Hasil perkahwinan terdahulu, Siti mempunyai dua orang anak lelaki, Putra Adam Rizki, 6, dan Putra Aiman Zafran, 4.

Siti dan Aiman sebelum ini pernah melalui satu fasa penceraian namun kembali rujuk selepas mendapat pengesahan mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast