KUALA LUMPUR – Deklarasi Kuala Lumpur akan dilancarkan sempena Sidang Kemucak ASEAN yang akan bermula Jumaat ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dokumen penting berkenaan dan perinciannya akan diberikan kepada media kelak.
“Setelah Deklarasi KL diluncurkan pihak KLN (Kementerian Luar Negeri) dan seketeriat pastikan media dapat perincian mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau persediaan persidangan tersebut di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan sehingga kini lebih 1,200 orang telah berdaftar untuk membuat liputan sidang kemuncak itu.
Fahmi berkata, daripada jumlah tersebut lebih 500 merupakan pengamal media antarabangsa.
“Saya yakin jumlah ini akan meningkat dalam sehari dua ini,” ujarnya.
Sementara itu, Fahmi menyeru masyarakat mendapatkan sumber berita yang sahih bagi mendapatkan maklumat mengenai sidang kemuncak yang berakhir Selasa depan itu.
Beliau juga berharap supaya pengamal media tempatan dan antarabangsa menggunakan persidangan itu sebagai peluang untuk saling bekerjasama dalam memainkan peranan menyebarkan informasi pelbagai dimensi. – MalaysiaGazette
















