KUALA LUMPUR – Dua beranak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur (JIMKL) semalam kerana disyaki memalsukan dokumen pengenalan diri kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan berselindung di sebalik kedai jam dan foto untuk menjalankan aktiviti itu.
Kedua-dua suspek warga tempatan merupakan bapa dan anak lelakinya berusia 60 dan 34 serta 60 itu ditahan dalam Ops Serkap di sekitar Jalan Chow Kit, di sini, antara jam 7 hingga 8.30 malam merupakan hasil risikan selama sebulan.
Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan itu membabitkan seramai 15 pegawai pelbagai pangkat dari Unit Perisikan, Sektor Operasi Bahagian Penguatkuasaan.
“Hasil pemeriksaan, mereka menawarkan khidmatmenghasilkan slip Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, i-Kad Jabatan Imigresen serta Kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) kepada mana-mana individu yang memerlukan, termasuk warga asing.
“Kedua-dua suspek akan berurusan dengan pelanggan melalui aplikasi Whatsapp, dengan kadar bayaran antara RM60 hingga RM180 bergantung kepada pakej yang ditawarkan dan dokumen yang dipesan boleh siap dalam tempoh hanya sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kompleks KDN, Jalan Sri Hartamas, di sini, hari ini.

Menurut Wan Mohammed Saupee, pihaknya turut menemukan beberapa keping kad menyerupai MyKid yang disyaki palsu serta pelbagai peralatan digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan.
Tambah beliau, antara barangan yang dirampas termasuk satu set komputer, komputer riba, mesin mencetak kad, mesin mengira wang serta kad mentah dilengkapi cip dan pelekat hologram seakan-akan tulen.
“Pemeriksaan lanjut menemukan lebih 100 keping kad mentah dan pelekat hologram serta salinan slip PLKS palsu yang masih berada dalam mesin cetak. Wang tunai lebih RM4,000 juga turut dirampas,” katanya.

Ujarnya, kegiatan itu dipercayai bermula sejak awal tahun ini dan tidak menolak kemungkinanterdapat pelanggan suspek datang dari luar Lembah Klang hasil jaringan ejen yang beroperasi di negeri lain.
Katanya, semakan lanjut mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Imigresen 1959/63 .
“Susulan itu, kedua-dua suspek sedang disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan dokumen serta Seksyen 56(1)(i) akta sama kerana menyerahkan dokumen kepada pihak lain.
”Kita juga mengesan wujud transaksi pengubahan wang haram dalam kegiatan ini dan kes terbabit akan dirujuk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA).
“JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, khususnya warganegara Malaysia sendiri yang sanggup bersekongkol dalam memperdagangkan dokumen palsu kepada pendatang asing tanpa izin,” ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan PATI diminta menyalurkan maklumat lengkap kepada kami. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. – MalaysiaGazette
















