PUTRAJAYA – Projek MyKiosk yang dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bukan isu politik, sebaliknya ia ditimbulkan rakyat susulan kos pembinaannya didakwa lebih tinggi dari harga pasaran.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, pihaknya melahirkan rasa kesal apabila menterinya, Nga Kor Ming menuduh MCA cuba memporak-perandakan Kerajaan Perpaduan dengan isu tersebut.
“Isu ini bukan Pemuda MCA yang cakap, tapi kita menerima banyak laporan daripada orang ramai dan pendedahan yang dibuat oleh akhbar-akhbar tempatan.
“Banyak pautan berita mengatakan terdapat banyak MyKiosk tidak digunakan secara baik dengan alasan mungkin sebelum ini ada orang sewa, tetapi dikatakan duduk di situ tidak sesuai, lokasi tidak strategik atau duduk dalam itu panas.
“Untuk fasa pertama, mungkin tenaga solar tidak mencukupi, hanya boleh tahan empat jam dan pelbagai alasan lagi. Keberkesanan projek ini dipertikai ramai orang.
“Apabila kita membangkitkan persoalan ini, kita pula dituduh oleh pihak-pihak tertentu terutama kementerian pelaksana melalui menterinya kononnya MCA sengaja cari isu untuk memporak-perandakan Kerajaan Madani,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Pemuda MCA Selangor, Tan Jie Sen; Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun dan Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low hadir ke ibu pejabat SPRM untuk membuat laporan rasmi berkenaan projek MyKiosk@KPKT.
Semalam, media melaporkan Kor Ming mengarahkan KPKT membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyebaran beberapa berita palsu mengenai projek MyKiosk.
Kor Ming mengeluarkan arahan kepada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk mengesan individu yang menyebarkan berita palsu berkenaan.
Projek MyKiosk@KPKT merupakan inisiatif kementerian untuk membantu golongan B40 dan peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan ruang niaga yang seragam, selamat dan selesa.
Projek itu bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penyediaan kios perniagaan dengan kadar sewaan yang rendah.

Dalam pada itu, Yew Chuan berkata, pihaknya menyuarakan isu bagi rakyat yang mempersoalkan sejauh mana dana awam diuruskan dengan baik dalam projek MyKiosk itu atau wujudnya penyelewengan.
“Kenapa kos MyKiosk ini terlalu tinggi? Kita tak menafikan projek ini dimulakan dengan niat yang baik untuk membantu rakyat terutamanya penjaja di tepi jalan supaya diberikan satu tempat sesuai untuk mereka berniaga.
“Apabila kita buat perbandingan harga dalam internet, Shopee, Lazada dan sebagainya, kita mendapati kos yang digunakan kerajaan untuk membina kiosk ini jauh lebih tinggi daripada apa yang kita boleh beli dari pasaran,” katanya.
“Kita perlukan jawapan daripada KPKT, apabila kita melontarkan persoalan kepada KPKT, kita tidak mengatakan menterinya daripada DAP.
“Kita menyeru kementerian pelaksana utama dalam projek ini untuk bangkit tampil ke depan untuk memberikan penjelasan kepada rakyat,” katanya.
Yew Chuan melahirkan rasa kesal apabila Kor Ming menuduh MCA menggunakan isu kiosk itu untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Apa yang kita dengar daripada Menteri semalam, mengatakan ini semua salah MCA, MCA cuba memporak-perandakan kerajaan, MCA cuba cari pasal.
“Malah Menteri tergamak mengatakan ini menjadi dalil MCA untuk meninggalkan kerajaan sekarang dan untuk menyertai PN dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu, Yew Chuan menggesa SPRM bertindak segera menyiasat projek MyKiosk@KPKT dengan telus sejauh mana perolehan itu dijalankan secara tender terbuka atau sebaliknya.
“Adakah ia melalui tender terbuka? Bagaimana caranya, adakah ini melibatkan isu-isu penyelewengan, kronisme, nepotisme atau sebagainya?
“Kita buat tuduhan bukan main tuduh sahaja. Kita mempunyai angka-angka yang dipetik daripada sumber yang sah iaitu daripada laman web kementerian, PBT dan sebagainya.
“Kita telah kumpulkan, kita telah membuat perbandingan untuk membantu SPRM dalam siasatan mereka.
“Saya meminta SPRM memandang berat perkara ini kerana tuduhan-tuduhan yang dilakukan pihak-pihak di luar terutamanya rakyat biasa akan mencemarkan nama baik kerajaan sekarang ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette