GEORGE TOWN – Kerajaan negeri kekal optimis terhadap kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang dengan reka bentuk baharu sedang dibangunkan sebagai penyelesaian alternatif signifikan bagi meneruskan projek pautan ketiga negeri itu.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, reka bentuk baharu tersebut bukan sahaja menitikberatkan aspek kecekapan, kebolehlaksanaan, keberkesanan serta impak sosial dan alam sekitar, malah dijangka mampu menampung semua jenis kenderaan.
“Reka bentuk baharu bagi terowong bawah laut ini merupakan alternatif serta penyelesaian penting dalam kesinambungan dan hala tuju projek pautan ketiga Pulau Pinang ini bagi memastikan ia dapat dilaksanakan.
“Malah, reka bentuk yang dikemaskini itu akan mengambil kira aspek kecekapan, kebolehlaksanaan, keberkesanan serta impak sosial dan alam sekitar.
“Selain itu, kita percaya reka bentuk baharu yang dicadangkan itu mampu menampung semua jenis kenderaan dan bakal menjadi ikon baharu untuk Pulau Pinang, bukan sekadar infrastruktur, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Lee Khai Loon (PKR–Machang Bubuk) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Zairil menegaskan bahawa projek tersebut masih relevan dalam usaha mengatasi kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang pertama.
“Terowong dasar laut itu berupaya mengurangkan aliran trafik dua hala di jambatan selain mengalihkan kenderaan dari kawasan sekitarnya.
“Ini akan mengalihkan trafik ke terowong bawah laut dan seterusnya mengurangkan kesesakan teruk di jalan-jalan yang menuju ke jambatan pertama,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menambah, kerajaan negeri tetap akan membuat keputusan akhir mengenai pelaksanaan projek itu berdasarkan hasil kajian kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan. – MalaysiaGazette
















