GEORGE TOWN – Proses pemilihan pengerusi dan jawatankuasa kariah masjid di Pulau Pinang dijalankan secara telus tanpa sebarang campur tidak wajar, kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid.
Jelas beliau, pemilihan jawatankuasa kariah dilaksanakan mengikut peruntukan Seksyen 104(1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Pindaan 2023).
Katanya, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah menentukan Tatacara Pencalonan Jawatankuasa Kariah Negeri Pulau Pinang 2024 yang diluluskan oleh Mesyuarat Majlis pada 18 November 2024 dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2 Disember lalu.
“Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan menguruskan sepenuhnya cadangan pelantikan bagi sesi 2026–2028.
“Antara syarat penting bagi memastikan tiada campur tangan luar ialah pencalonan perlu dibuat oleh seorang pencadang dan disokong sekurang-kurangnya oleh seorang penyokong daripada ahli kariah yang hadir dalam mesyuarat agong pencalonan.
“Calon juga mestilah menetap dalam kariah masjid tersebut tidak kurang daripada tiga bulan serta hadir ke mesyuarat pencalonan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini bagi menjawab soalan lisan Mohd Yusni Mat Piah (Pas-Penaga).
Mengulas lanjut Mohamad (PKR-Batu Maung) berkata, bagi Masjid Negeri dan masjid-masjid daerah, Mesyuarat MAINPP pada 30 September 2024 telah meluluskan penstrukturan semula jawatankuasa pengurusan dengan melantik Pengarah JHEAIPP sebagai Pengerusi Masjid Negeri dan Pegawai Tadbir Agama Daerah sebagai Pengerusi di masjid-masjid daerah.
“Ahli jawatankuasa lain terdiri daripada penjawat awam pelbagai agensi termasuk PDRM, JKR, Jabatan Pendidikan, Pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan serta wakil surau dalam kariah masing-masing.
“Jawatankuasa yang dilantik akan membantu MAINPP mentadbir kariah mengikut enakmen dan kaedah yang ditetapkan serta memperkukuh perpaduan masyarakat Islam dalam kariah,” katanya. – MalaysiaGazette
















