Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI – Johor menyasarkan RM42.48 bilion kutipan hasil sektor pelancongan sempena sambutan Tahun Melawat Johor 2026.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sasaran itu dibuat dengan mengambil kira perbelanjaan purata perkapita pelancong iaitu sebanyak RM3,500.

“Kita optimis nilai itu mampu dicapai sekiranya sasaran 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa melawat negeri ini direalisasikan sepanjang tahun depan.

“Bagi menjayakan sambutan tersebut, pelbagai projek naik taraf produk pelancongan telah dibuat dengan peruntukan sebanyak RM116.35 juta bagi tahun 2024 dan 2025.

“Antara projek naik taraf itu termasuklah Fasa Kedua Zoo Johor, naik taraf Gunung Ledang, Taman Negara Tanjung Piai, Taman Botani Diraja, Muzium Diraja Abu Bakar, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar serta Muzium Tokoh,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Norlizah Noh (BN-Johor Lama) berhubung persediaan kerajaan negeri tentang sambutan Tahun Melawat Johor 2026.

Onn Hafiz (BN-Machap) berkata, kejayaan sambutan Tahun Melawat Johor 2026 akan turut memberi pelbagai manfaat kepada rakyat Johor.

Katanya, walaupun kerja naik taraf ini dilaksana demi menyambut kehadiran pelancong antarabangsa, rakyat tempatan bakal juga mendapat manfaat apabila harga tiket ditawarkan adalah lebih murah berbanding harga pelancong asing.

“Zoo Johor sebagai contoh, harga tiket pelancong asing adalah RM30 manakala harga tiket warga tempatan adalah RM10. Pelbagai naik taraf dibuat ini akan turut menyaksikan pertumbuhan ekonomi hiliran melibatkan rakyat tempatan.

“Kita juga negeri dalam perancangan penganjuran pelbagai acara bertaraf antarabangsa antaranya Karnival Bangsa Johor, Hari Muzium Antarabangsa dan Simposium Johor Global.

“Acara bertemakan sukan turut dirancang seperti program Iron Man, Viper Challenge, triathlon dan juga Dragon Boat Regatta. Penglibatan ikon sukan dunia seperti Sony Bill Williams dan Datuk Lee Chong Wei juga akan membantu menjayakan pelbagai program dirancang,” katanya.

Beliau turut mengambil maklum kritikan segelintir pihak yang menyatakan bahawa tiada apa-apa yang menarik di Johor.

“Tetapi sebenarnya ada banyak aktiviti selain pusat beli belah dan produk makanan minuman ada di sini cuma potensi sebenarnya belum dicapai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast