KUALA LUMPUR – Dua pasukan bola sepak negeri iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC sah tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan selepas gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan.
Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, keputusan itu selepas kedua-dua pasukan berkenaan tidak memenuhi kriteria kewangan Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR).
Dalam pada itu, menurutnya, tiga pasukan iaitu Kuala Lumpur City FC; Kelantan Darul Naim FC, dan PDRM FC diberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’ yang kelab-kelab berkenaan perlu mengemukakan maklumat kewangan tambahan bagi memenuhi Kriteria Kewangan selewat-lewatnya 31 Mei ini.
“Kelab yang memohon lesen perlu memenuhi enam kriteria utama termasuk aspek sukan, infrastruktur, personel dan pentadbiran, perundangan, kewangan dan perniagaan.
“Kegagalan mematuhi ketetapan itu dalam tempoh masa yang ditetapkan boleh menyebabkan lesen kebangsaan mereka ditarik balik oleh FIB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sheikh Mohd Nasir berkata, kelab Liga Super yang memperoleh lesen termasuk Johor Darul Ta’zim FC (JDT); Selangor FC; Penang FC; Kuching City FC; Sabah FC; Terengganu FC; Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC.
Sementara itu, dua kelab dari Liga A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC juga menerima Lesen Kebangsaan melalui permohonan luar biasa mengikut Artikel 15 MFL CLR. – MalaysiaGazette
















