JOHOR BAHRU – Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari menyeru semua calon serta penyokong mendepani pemilihan parti itu dengan semangat damai, bermaruah dan berprinsip.
Berucap dalam program kemuncak kempen bertemakan ‘Bersama Membina Parti Kita’ di di sini, petang tadi menekankan matlamat utama dalam perjuangan politik bukanlah sekadar kemenangan semata-mata.
Sebaliknya, kemenangan yang membawa makna kepada rakyat dan organisasi parti itu sendiri.
“Kita tidak mahu menang dengan melondehkan maruah orang lain. Kita tidak mahu menang dengan memecah-belahkan parti,” tegasnya dengan disambut sorakan sokongan daripada ratusan hadirin.
Program Grand Finale ini turut dihadiri Nurul Izzah Anwar dan disertai oleh calon-calon Majlis Pimpinan Pusat, Wanita dan AMK dari pelbagai negeri, menjadikannya antara himpunan terbesar dalam siri kempen menjelang Kongres Nasional PKR yang bakal berlangsung esok.
Amirudin berkata, PKR harus tampil sebagai parti yang matang, tidak terjerumus dalam politik kebencian, selain mampu memimpin dengan pendekatan inklusif.
“Dalam tempoh lebih dua dekad, kita belajar banyak perkara. Politik ini bukan perlumbaan individu. Ia adalah amanah yang menuntut kebijaksanaan, kesabaran dan keikhlasan.
“Saya beri jaminan andai menang sebagai Naib Presiden, saya akan terus memperkukuh hubungan antara pimpinan dan akar umbi selain angkat suara anggota sebagai teras kepada setiap keputusan parti,” ujarnya.
Amirudin turut memuji penganjur program yang berjaya menghimpunkan pelbagai suara dalam suasana penuh harmoni, tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Apa yang kita lakukan hari ini bukan hanya untuk calon-calon yang bertanding sebaliknya untuk seluruh anggota parti yang mengharapkan kepimpinan yang adil, segar dan berpandangan jauh,” katanya lagi.
Dalam pada itu, sekali lagi Amirudin mengingatkan semua pihak agar tidak terjebak dengan permainan politik dalaman yang melemahkan perpaduan, sebaliknya menumpukan usaha untuk memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap PKR.
“Kalau kita mahu menjadi parti pemerintah yang kekal relevan, kita mesti bersedia untuk berubah tanpa meninggalkan prinsip perjuangan. Kita mesti terus berdiri teguh, bersama membina parti ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















