banglo Guan Eng saw yee fung kerajaan PH bekalan gula
Saw Yee Fung

KUALA LUMPUR – Cadangan menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun disifatkan sebagai langkah yang tepat pada masanya bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja serta memastikan jaminan kewangan yang lebih kukuh kepada warga emas.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, cadangan ini perlu dilaksanakan secara berperingkat dan disertai dasar kerja yang fleksibel bagi memastikan hak serta kepentingan pekerja terus dipelihara.

“Langkah ini wajar dipertimbangkan seiring dengan fenomena penuaan populasi negara serta ketidakseimbangan dalam struktur pasaran tenaga kerja di Malaysia.

“Had umur persaraan yang kini ditetapkan pada 60 tahun di bawah Seksyen 60 Akta Kerja 1955 sudah tidak lagi sesuai dalam konteks semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan Perangkaan Malaysia menjangkakan menjelang tahun 2030, sebanyak 14 peratus daripada populasi negara akan terdiri daripada warga emas berumur 65 tahun ke atas.

Justeru, pelanjutan umur persaraan dilihat mampu memastikan kesinambungan produktiviti dalam pasaran kerja negara.

Yee Fung turut memetik laporan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menunjukkan simpanan purata pencarum berumur 60 tahun hanyalah sekitar RM228,000, iaitu satu angka yang mungkin tidak mencukupi untuk menampung keperluan persaraan jangka panjang.

“Bank Dunia juga mendapati kenaikan umur persaraan boleh mengurangkan kadar kemiskinan warga emas daripada 8.0 peratus kepada 5.0 peratus.

“Ini menunjukkan langkah ini bukan sahaja praktikal tetapi juga penting untuk kesejahteraan sosial,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kerajaan perlu berhati-hati dalam merangka dasar berkaitan agar peluang pekerjaan untuk golongan belia tidak terjejas dan kos operasi syarikat tidak meningkat secara mendadak.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pelaksanaan skim persaraan fleksibel yang membenarkan warga emas untuk bekerja secara separuh masa atau sebagai konsultan.

Di samping itu, pemberian insentif cukai kepada syarikat yang menggaji warga emas juga dilihat dapat menggalakkan penyertaan golongan ini dalam pasaran kerja.

“Negara-negara seperti Singapura, Thailand dan Jepun telahpun melaksanakan dasar seumpama ini untuk menangani isu penuaan penduduk.

“Malaysia boleh mengambil contoh dari negara-negara ini dalam menggubal dasar yang bersesuaian,” jelasnya.

Sebagai permulaan, beliau mencadangkan agar lanjutan umur persaraan dimulakan dalam sektor awam yang sedang berdepan kekurangan tenaga kerja seperti bidang pendidikan dan kesihatan.

Pelaksanaan ini boleh diperluaskan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun bagi memastikan kelestarian pembangunan tenaga kerja negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast