PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima maklumat terbaharu dari agensi luar berkaitan harta dan pemilikan aset bernilai tinggi milik bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarganya.
Berdasarkan maklumat tersebut, SPRM telah membuka lapan kertas siasatan baharu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM kini sedang melihat harta-harta yang tidak diisytihar kepadanya satu ketika dulu.
“Jadi, maklumat terbaharu menunjukkan pemilikan aset-aset arwah, keluarga dan sekutunya yang bernilai tinggi yang tidak diisytihar kepada kami,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Azam berkata, aset-aset berkenaan dikesan di Switzerland, United Kingdom (UK) dan Singapura serta beberapa negara lain.
Menurutnya, SPRM kini sedang berhubung dengan beberapa pihak berkuasa di negara luar bagi mendapatkan maklumat berkenaan.
“Ia tidak mudah kerana kita perlu mengikut prosedur undang-undang seperti mutual legal assistance (bantuan perundangan bersama),” katanya.
Setakat ini, SPRM telah membekukan aset dan harta Allahyarham sebanyak RM2 bilion sejak kes disiasat pada Februari 2023 lalu.
“Bagi maklumat terbaru ini siasatan akan dijalankan, sekiranya benar tidak diisytiharkan ia adalah satu kesalahan. Walaupun ketiadaan Tun Daim kita akan mencadangkan untuk harta dan aset berkenaan dilucut hak kepada kerajaan.
“Namun ia bergantung kepada timbalan pendakwa raya (TPR) untuk bersetuju atau tidak. Tetapi kita ke arah itu,” tambahnya.
Katanya lagi, saksi-saksi kini sedang dipanggil bagi memastikan sama ada harta berkenaan diperoleh secara sah atau tidak termasuk dengan memanggil proksi dan ahli keluarga.
“Dalam kes ini saya memberi tempoh selama lebih kurang dua bulan kepada pegawai penyiasat untuk menyiapkan siasatan berhubung dengan lapan kertas siasatan yang baru dibuka,” katanya. – MalaysiaGazette