Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Majikan Perindustrian, Komersial dan Perkhidmatan Malaysia (MICSEA) bimbang terhadap kesan cadangan melanjutkan umur persaraan kepada 65 tahun sekiranya tidak dirancang secara teliti.

Presidennya, YK Lai berkata, meskipun ramai warga emas kini sihat dan berdaya kerja walaupun telah melepasi usia persaraan, namun ia tidak bermakna semua sektor atau semua pekerja mampu bertahan sehingga umur 65 tahun.

Mskipun mengalu-alukan usaha kerajaan mengekalkan tenaga kerja berpengalaman dalam sektor pekerjaan, namun beliau tetap berpendapat, pelaksanaan dasar itu tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa atau mengabaikan realiti semasa tenaga kerja negara

“Apa yang lebih penting adalah bagaimana kita menyusun dasar supaya ia adil dan praktikal untuk semua golongan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Presiden Persatuan Majikan Perindustrian, Komersial dan Perkhidmatan Malaysia (MICSEA), YK Lai

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun.

Azalina yang menyuarakan pandangan peribadinya berkata, adalah satu kerugian apabila individu diwajibkan bersara pada usia 60 tahun sedangkan mereka masih bertenaga dan produktif serta berupaya menyumbang kepada tenaga kerja.

Sementara itu, Lai menambah, meskipun jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin meningkat memberi ruang untuk usia bekerja dilanjutkan, namun ia mesti mengambil kira pelbagai faktor.

Antaranya, beban kerja fizikal, keupayaan mental, keseimbangan generasi dalam pasaran kerja sehinggalah ke tekanan kewangan yang mungkin meningkat, terutama bagi pekerja berpendapatan rendah.

“Sekiranya tidak dilaksanakan dengan berhati-hati, langkah ini berisiko menjejaskan peluang pekerjaan untuk golongan muda dan dalam masa yang sama meletakkan beban kesihatan dan kewangan ke atas pekerja yang lebih berusia,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sejauh mana sektor industri dan perkhidmatan bersedia menghadapi cabaran seperti perancangan tenaga kerja jangka panjang, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengurusan faedah pekerja sekiranya umur persaraan dilanjutkan.

Lebih membimbangkan, katanya, kemungkinan wujud ketidaksaksamaan antara pekerja berkemahiran tinggi yang mungkin dapat menyesuaikan diri dengan lanjutan usia bekerja dan pekerja sokongan atau bergaji rendah yang mungkin semakin terbeban.

Sehubungan itu, ujar beliau, cadangan melanjutkan usia persaraan memerlukan pendekatan lebih fleksibel dan berbeza mengikut sektor serta keperluan individu.

“Kami percaya dasar yang fleksibel, inklusif dan realistik harus dibangunkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan, majikan, kesatuan pekerja dan pakar sumber manusia agar pelaksanaannya kelak tidak meminggirkan mana-mana kumpulan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast