Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli hadir pada Ucapan Dasar dan Perasmian Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2025.

JOHOR BAHRU – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat keterlanjuran ketika Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar berkempen dalam merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Beliau berkata, sewajarnya kedua-dua pihak tidak menghukum antara satu sama lain dan menganggap keterlanjuran itu adalah satu kesilapan kecil.

“Saya lihat kedua-dua pihak ada telanjur, jadi jangan hukum antara satu sama lain. Saya sebagai bapa bagi nasihat kepada semua.

“Yang penting, kita bersama dan kalau berkawan puluhan tahun, bergelut susah payah bersama dan menderita puluhan tahun, takkanlah dengan apa yang kita anggap kesilapan kecil itu tidak boleh dimaafkan.

“Kalau saya, ikhlas saya maafkan semua,” katanya ketika berucap dalam Ucapan Dasar dan Perasmian Kongres Nasional tahunan Keadilan di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa di sini malam ini.

Anwar berkata, ada sebabnya PKR terus ke membina kekuatan bersama-sama kerana parti masih belum memenuhi semua idelalisme dan cita-citanya.

“Paling keras bicara (lantang bersuara) barulah tatakelola dan anti rasuah, baru kita boleh layakkan parti ini jadi parti reformasi tulen,” tegasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menerima teguran terhadapnya walaupun tidak menjawab semua yang disuarakan oleh calon-calon yang bertanding.

“Ini termasuk (teguran) daripada Rafizi, Nurul Izzah, (Datuk Seri) Amirudin Shaari dan tokoh-tokoh lain. Ada rasa sikit biasalah tapi saya secara positif terima baik kerana beri teguran supaya ingatkan kita dalam dasar tidak salah,” ujar beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast