KUANTAN – Dua orang warganegara China antara yang maut manakala enam lagi cedera dalam nahas kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer (KM) 234.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Terengganu petang tadi.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia dalam nahas yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu.
Kedua-dua mangsa,i Zhentai dan Chunhua menaiki kereta jenis Mercedes Benz meninggal dunia manakala pemandu kenderaan berkenaan yang bekerja di kedutaan mengalami kecederaan di tangan dan bahu.
”Kereta Mercedes Benz dikatakan melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail yang dinaiki oleh lima beranak. Siasatan mendapati, kereta SUV dari arah Kuala Lumpur menghala ke arah Kuantan.
”Apabila pemandu Nissan sampai di tempat kejadian, ketika sedang bergerak lurus di lorong kanan, tiba-tiba telah hilang kawalan melanggar guardrail sebelah kanan dan terhenti di lorong kiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selepas itu, datang pemandu Mercedes dari arah yang sama, namun gagal mengelak lalu terlanggar kereta Nissan X-Trail yang berada di lorong kiri tersebut.
Menurutnya, kesemua mangsa lima beranak menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Wan Mohd Zahari memaklumkan identiti dan maklumat lanjut berkaitan dua mangsa warganegara China itu masih dikenal pasti.
Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk proses bedah siasat.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















