MELAKA – Polis menahan seorang lelaki warga Pakistan selepas disyaki mencabul seorang pelajar wanita sebuah universiti di Jalan Ayer Keroh Lama di sini Selasa lalu.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi ketika mangsa berusia 21 tahun sedang berjalan kaki dari kediamannya di Bukit Beruang, menuju ke pusat pengajian tersebut untuk menghadiri kelas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika sedang melalui kawasan tangga berdekatan medan selera Ixora, mangsa bertembung dengan suspek berusia 31 tahun yang berjalan dari arah bertentangan.
“Mangsa yang cuba memberi laluan tiba-tiba dipeluk suspek dan mencium pipinya menyebabkan mangsa terkejut dan cuba melarikan diri.
“Berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek menyebabkan pelajar universiti itu cedera di lengan sebelum dia membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita hari ini.
Christopher berkata, hasil tindakan susulan, suspek berjaya ditahan oleh orang awam di belakang sebuah restoran di Bukit Beruang, kira-kira pukul 1 pagi semalam sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Siasatan mendapati, suspek bekerja sebagai pembantu kedai makan dan mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Jabatan Imigresen,” ujarnya.
Sebelum ini, tular di media sosial gambar seorang lelaki warga asing dipercayai suspek yang meminta orang ramai berhati-hati dengan sikapnya yang dilabel sebagai ‘lelaki miang’ akibat perbuatannya itu. – MalaysiaGazette
















