JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara ini perlu diselamatkan daripada ancaman rasuah dan penyelewengan.
Sehubungan itu tegas beliau, tindakan keras perlu diambil terhadap pihak atau individu yang terlibat dalam penyelewengan dan rasuah.
“Kalau kita izinkan rasuah dalam negara, (penguatkuasa) nak ambil tindakan tidak berani, kalau ambil tindakan berdendam, orang itu kumpul puluh-puluh bilion ringgit hidup selesa. Mak jadi pemimpin boleh tapi jangan kaut kekayaan negara untuk diri mereka dan keluargaan.
“Negara ini perlu diselamatkan. Mahu jadi pemimpin boleh tapi jangan jadi pemimpin yang kaut kekayaan untuk diri dan keluarga mereka. Negara ini perlu diselamatkan, ini tekad kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Madani Rakyat 2025 (Johor) di pusat beli-belah Toppen di sini hari ini.
Katanya, usaha tersebut perlu dilakukan dengan sokongan anak muda yang benci penyelewengan, rasuah, penindasan dan kezaliman.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh konsep pembangunan sebenar yang menurutnya bukan sekadar membina bangunan pencakar langit atau mengejar pertumbuhan ekonomi, tetapi pembangunan insan yang berilmu, beradab dan berakhlak.
“Seringkali apabila disebut pembangunan, kita bayangkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan bandar, pencakar langit, lebuh raya dan pelbagai infrastruktur baharu. Namun, untuk apa semua itu?
“Tujuan sebenar pembangunan adalah untuk membangunkan manusia. Ya, manusia. Bukan sekadar tubuh fizikal, tetapi manusia yang berilmu, berakhlak, mempunyai nilai, dan berperasaan.
“Apa maknanya kita bina bangunan tinggi, jika dalamnya dihuni oleh manusia yang ganas, rakus, angkuh dan menekan sesama sendiri? Apa makna negara maju jika rakyatnya hidup dalam kebencian,” soalnya.
Beliau turut menyeru golongan muda untuk memainkan peranan aktif dalam memberi contoh kepada masyarakat mengenai makna sebenar kemajuan.
“Saya mahu anak-anak muda beri contoh yang baik, ajar golongan tua yang mungkin kurang faham erti kemajuan. Tunjukkan bahawa kejayaan bukan diukur dengan bangunan tinggi, tetapi dengan nilai kemanusiaan,” katanya lagi.
Tambah beliau, matlamat utama pembangunan negara adalah untuk membentuk masyarakat penyayang, beradab dan saling menghormati, sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama.- MalaysiaGazette
















