JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan parti itu tidak boleh terus menutup mata terhadap isu dalaman atas alasan mahu menjaga kestabilan.
Bercakap kepada media selepas membuang undi dalam pemilihan parti, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, meskipun proses pemilihan setakat ini berlangsung secara aman, penyelesaian segera amat penting agar parti dapat kembali memberi fokus kepada tanggungjawab utamanya iaitu mentadbir negara.
Beliau menekankan kepimpinan baharu yang dijangka diumumkan malam ini perlu memastikan setiap permasalahan diselesaikan berlandaskan prinsip-prinsip asas perjuangan parti.
“Kita tidak boleh sapu (masalah dalaman) bawah karpet atas nama kestabilan. Perbincangan dan perdebatan sama ada secara dalaman atau terbuka perlu dibenarkan.
“Itu tanggungjawab kepimpinan baharu,” katanya kepada media selepas hadir ke pusat pengundian fizikal di Berjaya Waterfront kira-kira sejam sebelum undian ditutup.
Rafizi turut mengulas isu ketidakhadirannya ke pelancaran rasmi jentera pilihan raya PKR Sabah dengan menyifatkan ia sebagai isu prinsip yang melibatkan proses dan disiplin organisasi.
“Setiap organisasi bergantung kepada prosedur yang betul dan penghormatan kepada hierarki. Kalau itu semua diketepikan semata-mata untuk mengenepikan saya, tak adil untuk harapkan saya terima sahaja,” jelasnya.
Beliau mendakwa pelancaran di Sabah itu telah diatur oleh lawannya dalam parti, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Amirudin Shari dengan niat bertembung dengan program yang dianjurkannya sendiri, satu tindakan yang disifatkannya sebagai perbuatan ‘tikam belakang’.
“Ini bukan cara PKR. Saya harap perkara ini jadi pengajaran untuk masa depan dengan ikut proses. Kalau tak ikut, maka hilanglah keabsahan moral untuk bercakap tentang prosedur dan etika parti,” tambah beliau.
Sebelum ini, media melaporkan dua program parti berlangsung serentak di Sabah dimana satu diketuai oleh Nurul Izzah dan Amirudin Shari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) manakala satu lagi, Jelajah Hiruk diketuai Rafizi Ramli di ITCC Penampang. — MalaysiaGazette
















