JOHOR BAHRU – Ketua Wanita Keadilan, Fadhlina Sidek menyeru seluruh jentera wanita parti itu bersiap siaga sepenuhnya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan memastikan kesinambungan pemerintahan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepenggal lagi.
Dalam Ucapan Dasar sempena Kongres Nasional Wanita Keadilan 2025 di Danga Bay Convention Centre hari ini, Fadhlina menegaskan bahawa persiapan PRU bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan mendesak.
“Kita tidak punya masa yang panjang. Kita sedang bergerak ke arah pilihan raya. Kita mesti bersiap bukan sahaja untuk menang, tetapi untuk menang dengan strategi, kekuatan dan jati diri Keadilan,” katanya di hadapan ratusan perwakilan seluruh negara di sini hari ini.

Fadhlina menegaskan untuk memenangi PRU16, parti itu tidak hanya bergantung kepada strategi politik semata-mata tetapi juga sentuhan akar umbi yang tulen dan penglibatan aktif wanita di lapangan.
“Kita perlu menjadi suara dan wajah Keadilan di tengah-tengah masyarakat. Jangan biarkan rakyat terlupa siapa yang benar-benar membela mereka.
“Wanita Keadilan mesti menjadi tulang belakang kepada kemenangan parti, dan bukan sekadar pelengkap majlis,” ujarnya.
Menteri Pendidikan itu turut memuji usaha latihan pilihan raya yang telah digerakkan di Sabah sambil menyifatkannya sebagai contoh kesungguhan jentera wanita yang perlu dicontohi oleh semua negeri.
“Wanita Keadilan Sabah telah membuktikan bahawa mereka bersedia. Kita mahu seluruh negara mengambil semangat itu. Run-2-Win mesti dimantapkan lagi,” ujarnya.
Sementara itu, dalam ucapan yang lantang dan penuh semangat, Fadhlina menegaskan sayap itu akan memastikan Anwar terus kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU-16 adalah agenda utama perjuangan KEADILAN.
“Kemenangan PRU-16 adalah misi besar kita. Kita mahu Kerajaan Madani terus memimpin negara. Kita mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri untuk sepenggal lagi, demi memastikan agenda reformasi dilaksanakan sepenuhnya,” tegas beliau.
Fadhlina melahirkan penghargaan terhadap kejayaan Sekolah Wanita KEADILAN (SWAN) dalam melahirkan pemimpin berilmu dan berdaya saing serta menggariskan pentingnya pendidikan digital dan penguasaan teknologi sebagai aset politik masa depan.
“Wanita mesti bersenjata dengan ilmu, nilai, dan keberanian menghadapi dunia yang pantas berubah. Penguasaan digital bukan lagi pilihan, ia tuntutan perjuangan hari ini,” katanya lagi.
Mengakhiri ucapan, Fadhlina mengajak semua pemimpin wanita Keadilan untuk kembali kepada semangat akar umbi dan memperuntukkan masa khusus untuk pembinaan parti secara berstruktur dan berfokus.
“Jangan tunggu PRU baru nak bekerja. Kita bina hari ini, kita menang esok. Kita Keadilan, kita benteng rakyat. Kita benteng kemenangan,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















