TMJ
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail

KUALA LUMPUR – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail hanya memberi komein ringkas bagi menyambut baik beberapa perubahan yang dilakukan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi saingan musim 2025-2026.

Menerusi catatan di laman X, Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor menyifatkan keputusan badan bola sepak negara itu dapat meningkatkan tahap Liga M pada masa depan.

“Level up,” tulis baginda ringkas di media sosial itu.

Komen itu melibatkan pelaksanaan sepenuhnya Financial Fair Play (FFP) dalam Liga M musim depan dan penambahan kuota pemain import.

Semalam, MFL mengumumkan beberapa perubahan musim depan termasuk mengesahkan FFP yang diperkenalkan musim lalu akan dilaksanakan sepenuhnya musim 2025-2026 dengan menetapkan mekanisme gaji siling sebanyak 80 peratus kepada setiap kelab.

Ia menyaksikan kelab tidak dibenarkan membelanjakan lebih daripada 80 peratus daripada jumlah bajet tahunan mereka untuk pembayaran gaji.

Paling mencuri tumpuan adalah mengenai pertambahan kuota import yang mana semua pasukan dibenarkan mendaftarkan hingga 15 pemain asing bagi musim 2025-2026.

Tujuh pemain import dibenarkan beraksi di atas padang dalam satu masa menerusi komposisi empat kuota terbuka, satu Asia dan dua ASEAN, manakala dua lagi import boleh diletakkan di bangku simpanan.

Jumlah itu berbeza dengan sebelum ini yang mana 12 pemain asing dibenarkan didaftarkan oleh kelab Liga Juara Asia Elit (ACLE) dan ACL2 manakala kelab lain dibenarkan mendaftar sembilan import dengan enam pemain di atas padang dan seorang simpanan menerusi komposisi empat terbuka, satu Asia serta satu ASEAN.

Selain itu, badan pengelola Liga M itu mengumumkan kelab yang berpangkalan di Brunei, DPMM FC akan bertanding dalam musim baharu Liga Super 2025-2026.

MFL turut mengumumkan kalendar Liga M kini selari dengan liga luar negara yang mana tirai saingannya akan bermula pada awal Ogos depan dengan perlawanan Sumbangsih yang juga perlawanan pertama Liga Super membabitkan juara liga, JDT dan naib juara liga, Selangor FC.

Tarikh perpindahan pemain pertama Liga M 2025-2026 pada 9 Jun hingga 31 Ogos ini manakala jendela perpindahan kedua pada 5 Januari 2026 sehingga 1 Februari 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast