Kang Khai Xing-Aaron Tai. Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar aduan rasmi berkenaan mutu pengadilan aksi Malaysia Masters 2025 kepada Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).

Langkah itu dibuat selepas jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi merasa tidak puas hati dengan tiga keputusan pengadil dalam aksi pusingan kedua membabitkan Aaron Tai-Kang Khai Xing.

Ia termasuk membabitkan keputusan yang menyatakan bola masuk sedangkan ia jelas sekali terkeluar.

Jurulatih Indonesia itu menganggap keputusan-keputusan itu bukan sahaja mempengaruhi keputusan akhir perlawanan malah menyebabkan tekanan emosi kepada pasukan beregu ke-58 dunia itu.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh memaklumkan aduan rasmi sudah difailkan kepada BWF dan ia turut disertakan dengan bukti termasuk bukti video.

“Walaupun kami menghormati peranan dan kepentingan pegawai teknikal, amat penting bagi Persekutuan Badminton Dunia menjalankan semakan menyeluruh terhadap piawaian pengadilan.

“Kesaksamaan dan integriti mesti dipertahankan dalam setiap perlawanan. Keputusan yang dibuat oleh pengadil pada pandangan kami, jelas tersilap dan menafikan pemain kami mendapat peluang pertandingan yang adil.

“Pengadilan seperti itu bukan sahaja menjejaskan keputusan perlawanan tetapi juga menjejaskan kredibiliti sukan badminton,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Saingan separuh akhir Malaysia Masters menyaksikan tiga wakil negara diketuai bekas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast