BALIK PULAU – Seorang penternak burung puyuh mengalami kerugian kira-kira RM30,000 selepas ternakannya mati dalam kebakaran di Jalan Kampung Genting di sini, malam tadi.
Menurut Soo Ewe Sheng, 39, kejadian berlaku apabila rumah asal keluarganya yang kini disewakan terbakar, termasuk reban burung puyuh dan sebuah lori milik mereka.
“Kami dihubungi oleh penyewa rumah maklumkan mengenai kebakaran dan apabila saya dan bapa sampai di lokasi api sudah marak sekali gus gagal selamatkan ternakan sepenuhnya.
“Selain 3,000 burung puyuh, beberapa mesin makanan ternakan, lori turut musnah dalam kebakaran itu dan secara keseluruhan anggaran kerugian saya cecah RM30,000,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Ewe Sheng, mereka sekeluarga usahakan ternakan burung puyuh itu lebih 30 tahun dan hasil jualannya menjadi pendapatan utama keluarga.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.56 malam dan tiba di lokasi empat minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis kekal dengan kebakaran 70 dan 40 peratus masing-masing serta reban burung puyuh seluas 75 x 70 kaki persegi yang terbakar 60 peratus.
“Sebuah lori satu tan jenis Suzuki turut musnah dalam kejadian tersebut.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan api berjaya dikawal pada jam 10.35 malam sebelum operasi pemadaman tamat sepenuhnya jam 12.34 tengah malam,” katanya. – MalaysiaGazette
















