JOHOR BAHRU – Suasana di Kongres Nasional PKR hari ini menjadi sayu apabila Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebak ketika mengenang detik-detik kekalahan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pemilihan parti tersebut.
Dalam ucapannya di hadapan perwakilan, Saifuddin berkongsi momen peribadi yang menyentuh hati, apabila beliau sendiri menghantar Rafizi ke keretanya selepas keputusan rasmi diumumkan semalam.
“Saya hantar Rafizi selepas akhir pemilihan semalam, kami berpelukan,” katanya dengan nada terhenti-henti menahan emosi.
Di sebalik kesedihannya itu, Saifuddin turut meluahkan kebimbangannya terhadap masa depan kepimpinan parti kerana tokoh seperti Rafizi tidak lagi bersama mereka.
“Saya takut kehilangan seorang pemimpin baik seperti Rafizi,” katanya dengan penuh emosi mengenang kekalahan Rafizi.

Saat itu suasana hening di dalam dewan.
Beliau menyifatkan Rafizi bukan sekadar rakan seperjuangan, tetapi aset berharga yang telah banyak menyumbang dalam perjalanan reformasi sejak awal penubuhan PKR.
Ucapan Saifuddin itu turut mencerminkan rasa hormat dan penghargaan mendalam terhadap komitmen serta pengorbanan Rafizi dalam membina kekuatan PKR dan Pakatan Harapan secara keseluruhannya.
Tanpa berselindung, Saifuddin berkata, hubungan beliau dan Rafizi lebih kepada adik beradik.
“Saya anggap kami macam adik beradik, banyak perkara yang saya bersetuju, ada juga saya tidak setuju. Kami menghormati pandangan masing-masing.
“Ketika kempen, beliau (Rafizi) kata beliau tidak boleh terima kalau presiden beri laluan mudah kepada orang baharu, kemudian terus cepat naik, saya berbeza pendapat dengan Rafizi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















