Moderator program, Kamarudin Ahmad (kiri) bergambar bersama-sama dengan para panelis, Datuk Abu Bakar Isa Ramat (dua kiri), Datuk Seri Rajan Navaratnam (tengah) Datuk Hasnal Rezua Merican (dua kanan) dan Wong Siew Mun (kanan) selepas selesai sesi townhall Rakyat Mencari Kebenaran, Perundangan dan Hak Asasi Manusia di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 24 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Dua peguam berpendapat, isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) boleh dibincangkan umum asalkan ia tidak mempunyai kecenderungan menghasut.

Kamarudin Ahmad berkata, tiada salahnya menyentuh isu berkenaan namun perlu mengelak daripada menimbulkan bibit-bibit ke arah menghasut.

Ujar beliau, rakyat negara ini berhak memberikan pandangan dan berpersatuan yang merupakan hak asasi yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Hasnal Rezua Merican pula berpendapat, Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang kebebasan bersuara dan tiada peruntukan undang-undang yang mengecualikan isu 3R daripada perbincangan umum.

“Jangan guna isu 3R untuk menghalang rakyat berdiskusi kerana ia tidak semestinya menimbulkan kebencian terhadap pihak-pihak tertentu,” ujarnya pada sesi Town Hall Rakyat Mencari Kebenaran: Perundangan dan Hak Asasi Manusia di sini hari ini.

Hasnal Rezua yang juga ahli panel mengulas isu hak asasi yang dibangkitkan oleh Kamarudin yang juga moderator pada sesi berkenaan.

Ahli panel lain ialah ⁠dua peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat serta Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun.

Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun (kanan) bercakap ketika sesi sidang Townhall Rakyat Mencari Kebenaran, Perundangan dan Hak Asasi Manusia di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 24 MEI 2025.

Sementara itu, Siew Mun turut berpandangan, isu 3R sewajarnya dibuka untuk perbincangan lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pergaulan sihat.

“Bila bergaul dengan kawan, tiada masalah. Saya pun pergi masjid dan belajar berpuasa. Kawan saya juga pergi tokong,” ujarnya.

Pada sesi itu, ahli-ahli panel turut ditanya oleh seorang peserta mengenai perkara berkaitan hak asasi manusia yang menyentuh isu tahanan rumah melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Ujar peserta tersebut, jika Najib dibenarkan menghabiskan baki hukuman penjara di rumah, perkembangan itu akan menyebabkan lebih ramai yang memohon pengampunan untuk diberi peluang yang sama.

Bagaimanapun, Rajan Navaratnam menjelaskan, pengampunan diraja adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang mana sesiapapun tiada hak untuk menafikannya.

“Pihak yang tidak mendapat pengampunan tidak berhak untuk mempertikaikannya. Ini kerana YDPA mendapat nasihat Lembaga Pengampunan yang bersidang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast