Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Laporan Ekonomi Malaysia bagi Suku Pertama 2025 yang diterbitkan Kementerian Kewangan jelas membuktikan kejayaan kerajaan memacu ekonomi negara di sebalik tohmah segelitir pihak yang sibuk menjaja isu ‘ekonomi merosot’.

Prestasi suku pertama itu pasti memberi berita positif buat rakyat namum menyakitkan hati buat pencetus panik apabila defisit fiskal berjaya dikurangkan manakala pendapatan negara pula  meningkat.

Ini sekaligus, komitmen tinggi Kerajaan Madani yang bukan sekadar  berjanji tetapi akhirnya diterjemahkan melalui prestasi yang wajar dipuji.

Bagi penganalisis ekonomi, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, kerajaan ketika ini berada di landasan yang tepat dalam menguruskan kewangan negara dengan laporan defisit fiskal berkurangan kepada RM21.9 bilion pada pada akhir Mac 2025 berbanding RM26.4 bilion pada akhir Mac tahun lalu.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung membuktikan strategi dan usaha kerajaan dalam mentadbir ekonomi negara menunjukkan hasil apabila disumbang oleh pertumbuhan dalam kutipan hasil yang berjumlah RM72.1 bilion di mana mewakili peningkatan sebanyak tiga peratus jika dibandingkan tempoh sama pada tahun lalu.

Kemudian kata beliau, laporan juga menyaksikan penurunan di dalam perbelanjaan operasi sebanyak 1.5 peratus pada tempoh sama kepada RM76.5 bilion dan pada masa sama juga perbelanjaan pembangunan bersih merosot kepada 5.8 peratus kepad RM 17.6 bilion yang menyaksikan  defisit sebanyak RM21.9 bilion.

“Justeru usaha kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal ini berlangsung dan berterusan dalam keadaan beransur-ansur serta pada masa sama sentiasa berhemah dalam perbelanjaan mereka.

“Ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan sedia ada untuk mengurangi defisit ini dan sekaligus akan menterjemahkan kestabilan hutang kerajaan.

“Pada masa sama, mungkin akan mengurangkan nisbah hutang kerajaan pada masa akan datang. Jadi ini akan membantu dalam meningkatkan keyakinan di kalangan para pelabur dan juga agensi penarafan kredit seperti Moody dan Fitch Ratings yang sentiasa memerhati tahap kewangan kerajaan.

“Perkara ini jelas menujukkan kerajaan sentiasa mengimbangi keperluan rakyat dan pada masa sama, mahu memastikan disiplin yang tinggi di dalam pengurusan kewangan kerajaan” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pada akhir Mac 2025 berkurangan kepada RM21.9 bilion, berbanding RM26.4 bilion pada akhir Mac 2024, didorong oleh kutipan hasil yang lebih tinggi dan pengoptimuman perbelanjaan sejajar dengan inisiatif konsolidasi fiskal.

Kementerian memberitahu, hasil Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak tiga peratus berbanding suku yang sama tahun 2024 kepada RM72.1 bilion didorong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi, terutamanya daripada peningkatan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kutipan cukai pendapatan individu.

Menurutnya, jumlah perbelanjaan menurun sebanyak 2.5 peratus kepada RM94.2 bilion, terutamanya disebabkan pengurangan perbelanjaan subsidi berikutan pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel dan harga minyak global yang lebih rendah.

Mohd Afzanizam yang juga Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd memberitahu, memandangkan dalam tahun ini ekonomi bakal mendapat kejutan tarif Amerika Syarika, maka situasi itu perlu dipantau sama ada sasaran defisit fiskal 3.8 peratus pada tahun ini dapat dicapai atau sebaliknya.

Menurut beliau, sasaran tersebut bergantung kepada momentum pertumbuhan ekonomi yang bakal dicatatkan pada tahun ini.

“Justeru saya kira perkara ini akan sentiasa dipantau dan dinilai di mana saya percaya kerajaan akan mengumumkan sasaran yang baharu dari segi pertumbuhan ekonomi dan sebagainya bagi mengurus tanggapan rakyat.

“Tidak terkecuali juga pandang pelabur dan peniaga supaya kerajaan dapat membimbing jangkaan tentang prestasi ekonomi negara dan bagai ia dapat diterjemahkan dalam kewangan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mohd Afzanizam menambah, dari segi nisbah defisit fiskal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku pertama tahun ini , ia berada di paras. 4.25 peratus.

Katanya manakala pada suku pertama 2024 , ia berada di paras 5.7 peratus di mana ia menunjukkan trend penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Dan ianya amat konsisten dengan usaha kerajaan untuk mengurangi nisbah defisit fiskal dan sasaran tahun ini adalah 3.4 peratus daripada nilai KNDK 2025,” katanya.

Sementara itu, diterbitkan setiap suku tahun, Laporan Ekonomi Malaysia menyediakan gambaran menyeluruh mengenai prestasi makroekonomi negara dan kedudukan fiskal semasa, selaras dengan komitmen Kerajaan Madani untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan kewangan awam.

Beberapa pencapaian utama sepanjang suku pertama 2025 mencerminkan kesungguhan Kerajaan Madani dalam memperkukuh kemampanan fiskal negara.

Antara lain, Kementerian Kewangan berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan 4.2 peratus yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun lalu, didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta pemulihan berterusan dalam sektor-sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast