KUALA LUMPUR – Malaysia dan Laos akan memperluaskan hubungan perdagangan menerusi memorandum kerjasama antara Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) dan Thanaleng Dry Port.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan menjadi satu contoh kerjasama penting dalam aspek pelaburan perdagangan antara kedua-dua negara.

Katanya, kerjasama lain termasuk latihan dan pengurusan pelabuhan dengan PPSB, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas yang sedia untuk menawarkan khidmat latihan serta perkongsian kepakaran bersama.

“Isu penting lain adalah pelabuhan darat yang kita ada di Perlis dan pelabuhan Thanaleng di Laos, dan ia sedang berjalan lancar serta dijangka siap dengan cepat tahun ini.

“Dengan itu, kita sedang memperluaskan kemudahan terbabit dan sudah menandatangani persefahaman dengan Pelabuhan Pulau Pinang supaya aliran barangan dari Pulau Pinang ke Perlis dan seterusnya ke pelabuhan darat di Thanaleng dapat berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Sonexay Siphandone sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Laos itu ke Malaysia di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, Malaysia bersetuju dengan cadangan Laos supaya fasa kedua projek Grid Tenaga ASEAN dipercepatkan bagi memberi manfaat kepada negara anggota blok berkenaan.

Jelasnya, cadangan yang dikemukakan Siphandone akan dibincangkan pada sesi pemukiman pemimpin ASEAN nanti.

Menurutnya, fasa pertama projek berkenaan membabitkan kabel dasar laut dari Vietnam ke Utara Semenanjung dan beliau berharap fasa kedua dapat dipercepatkan.

“Ia (fasa kedua) penting supaya Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia dan Singapura dapat menerima manfaat sama. Isu ini akan dibincangkan dalam pertemuan pemimpin ASEAN pada sesi pemukiman nanti,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau dan Siphandone turut membincangkan isu buruh, digital, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor selain isu tenaga alternatif termasuk unsur nadir bumi, supaya dapat dikembangkan lagi kerjasama sedia ada.

Tambahnya, perbincangan turut menyentuh mengenai memorandum kerjasama berhubung kereta api ekspres ASEAN yang dijangka memendekkan masa perjalanan antara negara ASEAN ke China.

Katanya, perbincangan bersama rakan sejawatnya itu turut menyentuh mengenai penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN yang diharap dapat dimuktamadkan pada Oktober ini.

“Kami juga membincangkan mengenai Myanmar, keperluan untuk meneruskan bantuan kemanusiaan serta pentingnya semua pihak di Myanmar menghormati keperluan untuk keamanan.

“(Ia termasuk) mengenai gencatan senjata segera dan seterusnya bekerjasama melalui mekanisme dan persefahaman ASEAN, menggunakan Konsensus Lima Perkara ASEAN,” katanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast