Ahmad Zahid ketika berucap pada majlis perasmian Kompleks Dakwah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI di Kampung Bukit Senggeh, Jasin, Melaka hari ini.

JASIN – Barisan Nasional (BN) terbuka dan sedia berunding dengan mana-mana parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan termasuk parti-parti tempatan Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan awal antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi agihan kerusi telah pun dimulakan dan akan dimuktamadkan selepas pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO berkata, ia termasuk menerima cadangan atau permintaan kerusi daripada rakan sekutu namun perlu dibawa ke meja rundingan.

“Kita amat hormati kerjasama antara BN dan PH dan kita juga telah mengenal pasti kerusi-kerusi yang akan ditandingi dan perbincangan untuk memuktamadkannya akan terus diperbincangkan.

“Di samping itu kita juga akan berbincang dengan beberapa parti tempatan termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengelakkan pertindihan (kerusi) daripada berlaku di dalam PRN Sabah ke-17 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Kompleks Dakwah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI di Kampung Bukit Senggeh, di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Sebelum ini Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menuntut sekurang-kurangnya 13 kerusi untuk ditandingi pada PRN Sabah.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, perbincangan mengenai perkara itu sudah dimulakan dan ia menjurus kepada kesepakatan untuk memperincikan kawasan yang dimenangi BN pada PRN lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast