Ling Tian Soon

ISKANDAR PUTERI – Seramai 12 mahasiswa di Johor menghidap HIV pada 2024, meningkat berbanding 10 kes pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, kesemua jangkitan dikenal pasti berpunca daripada hubungan seksual tidak selamat.

“Situasi mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan kes dalam kalangan golongan muda, khususnya mahasiswa.

“Kerajaan Johor melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKNJ) telah memperkukuh pelaksanaan Program PROSTAR 2.0 sejak 2023 dengan kerjasama institusi pengajian tinggi bagi meningkatkan kesedaran dan pencegahan HIV dalam kalangan remaja dan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Selamat Takim (BN- Sungai Balang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Tian Soon berkata, seramai 1,673 mahasiswa dan pelajar sekolah menengah telah menyertai pelbagai aktiviti di bawah program berkenaan setakat ini.

Menurutnya, inisiatif lain termasuk ceramah kesihatan, forum komuniti dan kempen kesedaran awam turut dijalankan secara berkala, selain pendekatan digital melalui media sosial untuk menyampaikan maklumat kesihatan secara lebih dekat dengan golongan sasaran.

“Kerajaan turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan ujian saringan HIV secara percuma dan rahsia di semua Klinik Kesihatan di negeri ini bagi menggalakkan pengesanan awal dan intervensi tingkah laku.

“Kerajaan negeri akan terus komited memastikan usaha pencegahan HIV diperhebat demi melahirkan generasi muda yang sihat, berilmu dan berakhlak tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast