KUALA LUMPUR – Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) perlu menjadi rakan penting dalam usaha menjayakan agenda pembinaan Komuniti ASEAN dengan memainkan peranan utama bagi merealisasikan aspirasi rakyat dan memperkukuh ketahanan rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sekaligus membolehkan AIPA memacu kemajuan merentasi tiga tonggak utama ASEAN serta memperkukuh kesiapsiagaan dan ketahanan rantau ini.
Jelasnya, Parlimen dan kongres sesebuah negara berada di barisan hadapan dalam mempromosikan pertumbuhan inklusif dan membina komuniti ASEAN yang mampan memandangkan setiap keputusan mereka memberi impak besar.
“Setiap keputusan yang dibuat oleh Parlimen atau Kongres pasti akan mempengaruhi perjalanan rundingan.
“Justeru, saya ingin menegaskan bahawa AIPA perlu diberikan galakan dan pendedahan yang sewajarnya mengenai kerja-kerja dan bahan berkaitan ASEAN,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada sesi ASEAN Leaders’ Interface With Representatives of AIPA yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang juga Presiden AIPA ke-46.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia turut meletakkan komitmen berterusan dalam Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN ke-14 (ASEAN-AIPA Interface) dengan mengambil kira beberapa aspek penting dalam serantau.
Perdana Menteri memberitahu, ia membabitkan hal-hal berkaitan keselamatan makanan, perubahan iklim, transformasi digital dan pembangunan ekonomi yang inklusif.
“Kami turut menggalakkan komitmen berterusan AIPA, antara lain dalam menangani isu keselamatan makanan, perubahan iklim, transformasi digital, serta pembangunan ekonomi yang inklusif.
“Pada masa sama, suara rakyat yang disampaikan melalui wakil mereka yang dipilih mesti diambil kira dalam setiap keputusan Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, menjadi platform strategik untuk memperkukuh Kerjasama serantau dan antara wilayah,” katanya. – MalaysiaGazette
















