SERDANG – Pemilihan PKR 2025 tidak dinafikan memberi impak termasuk perpecahan dalam kalangan akar umbi dan bekas pimpinannya yang tewas mempertahankan jawatan penting.
Naib Presiden baharunya, Datuk Amirudin Shari bagaimanapun berkata, perpecahan itu disifatkannya sebagai paling minimum dirasai parti pemerintah itu berbanding pemilihan-pemilihan PKR sebelum ini.
“Berbanding dengan pemilihan-pemilihan lepas, saya percaya ini antara kesan pemilihan kedua terendah (perpecahan) berbanding pemilihan-pemilihan sebelum ini.
“Pemilihan sebelum ini pada 2022 antara pemilihan yang berakhir dengan sangat baik walaupun ada pihak yang kalah, ada pihak yang menang tapi landing yang sangat baik.
“Kali ini sedari kempen walaupun ada bunyi di sana sini tapi kita percaya, kita boleh mencapai titik temu yang penting demi untuk meneruskan agenda perubahan reformasi yang bersungguh-sungguh ke arah kebaikan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di Universiti Putra Malaysia hari ini.
Terdahulu pemilihan parti dalam Kongres Nasional PKR 2024/2025 Sabtu lalu menyaksikan penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli gagal mempertahankan jawatan itu selepas ditewaskan di tangan anak Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar.
Bagaimanapun tidak semua calon pro Menteri Ekonomi itu dalam persaingan Naib Presiden dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) tewas.
Ia boleh dilihat dengan kemenangan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang yang berjaya merebut dua dari empat jawatan Naib Presiden PKR yang dipertandingkan.
Bagaimanapun Amirudin sendiri dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan yang pro Nurul Izzah tidak kurang hebatnya apabila berjaya merebut jawatan Naib Presiden PKR. – MalaysiaGazette
















