SERDANG – Kerajaan Selangor sedia melakukan penambahbaikan infrastruktur kawasan setempat yang terjejas hingga menimbulkan keresahan ribuan penduduk Kampung Sungai Kandis di Shah Alam akibat projek pembinaan Rumah Selangorku.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya mempunyai mekanisme tertentu yang boleh diguna pakai untuk memastikan kampung tradisi itu tidak terjejas sepanjang pembinaan pangsapuri 660 unit itu.
“Nanti saya akan semak balik perkara tersebut, saya perlu tahu lebih terperinci, kita akan cuba perbaiki apa yang penting, pembinaan dibuat oleh siapa, kalau ia melibatkan anak syarikat kerajaan negeri, kita boleh betulkan segera.
“Kalau infrastrukturnya tidak baik, ada beberapa mekanisme untuk melengkapkannya atau memastikan orang yang membina dapat melengkapkan,” katanya kepada pemberita di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Sebelum ini, MalaysiaGazette dalam laporan satu khas mendedahkan lebih 500 penduduk asal Kampung Sungai Kandis membantah pembinaan 660 unit pangsapuri mewah kerana menjejaskan infrastuktur termasuk jalan raya, sistem perparitan dan keselamatan orang awam.
Ketua Penerangan Persatuan Anak Jati Kampung Sungai Kandis (PAJKSK), Mohd Zulhusni Mohd Noh berkata, kebimbangan itu timbul susulan kemunculan jentera berat dengan muatan 35 tan menyebabkan laluan utama mendap dan berlubang.
Menurut Zulhusni, lebih malang apabila kehadiran jentera berat yang membawa bahan binaan termasuk tanah, batu dan konkrit boleh mengancam keselamatan penduduk susulan kedudukan sekolah agama berdepan dengan jalan utama.
Dakwa Zulhusni, pangsapuri mewah 660 unit hanya menambahkan kepadatan penduduk di kawasan itu yang ketika ini sudah mencecah 1,500 unit rumah, di samping kewujudan lima taman perumahan baharu sejak 15 tahun lalu.
Tinjauan MalaysiaGazette ke tapak projek pembinaan pangsapuri 22 tingkat di Kampung Sungai Kandis pada 21 Mei lalu mendapati daripada 660 unit kediaman itu, sebanyak 132 unit merupakan Rumah Selangorku jenis Trio bakal didirikan di atas tanah seluas 7 ekar.
Berdasarkan papan tanda projek yang didirikan Majlis Bandaraya Shah Alam, MalaysiaGazette mendapati kelulusan infra pembinaan dua blok perumahan itu diperoleh pada 27 September 2024 manakala bangunan pula pada 18 Disember lalu.
MalaysiaGazette dimaklumkan, 528 unit pangsapuri jenis A yang berkeluasan 914 kaki persegi (kps) dijual bermula pada harga RM438,000 seunit manakala 132 unit Rumah Selangorku Trio pula dijual serendah RM197,370 seunit. – MalaysiaGazette
















