PULAU INDAH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya mematahkan cubaan penyeludupan lima jenis komoditi bernilai RM3.5 juta termasuk duti dan cukai.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Raizam Setapa @ Mustapha berkata, metal scrap adalah sitaan komoditi paling banyak, melibatkan 227,696 kilogram (kg) berjumlah lebih RM1.6 juta.
Katanya, sitaan dibuat pada April lalu menerusi pemeriksaan terhadap 12 buah kontena bersaiz 20 kaki serta dua buah kontena bersaiz 40 kaki di dalam kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.
“Berdasarkan siasatan dan pengalaman kes lepas ia dipercayai untuk dikitar semula,” katanya ketika sidang media di Wisma Kastam hari ini.
Kata Raizam, siasatan awal menunjukkan dagangan telah diimport dari beberapa buah negara di benua Amerika, Eropah dan Asia.
Seterusnya, beliau berkata, kes kedua sitaan terbanyak melibatkan 26,238 liter minuman keras bernilai RM978,319 termasuk duit dan cukai.
Menurut Raizam, sitaan dibuat pada 6 Mei lalu terhadap sebuah kontena bersaiz 40 kaki di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara.
“Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut pasukan (Bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor) berjaya menemui minuman keras 51,138 tin. Minuman keras tersebut disyaki tidak berkastam dan dianggar bernilai RM188,724 dan sebelebihnya nilai duit atau cukai.
“Siasatan awal mendapati kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 22 April lalu dan berasal daripada sebuah negara di Asia,” ujarnya.
Kes seterusnya adalah cubaan menyeludup 12,800 kg beras dianggarkan bernilai RM217,600.
“Manakala duit atau cukai bernilai RM87,040,” katanya yang memaklumkan sitaan dibuat pada 11 April lalu melibatkan sebuah kontena bersaiz 20 kaki.
Tambah beliau, JKDM Selangor dalam masa yang sama turut menumpaskan cubaan menyeludup 21 mesin pengering pakaian bernilai RM474,000, manakala duit sebanyak RM47,400.
“Sitaan seterusnya adalah 295 kg komoditi chewing tobacco tanpa permit yang sibuat pada 15 April lalu. Kesemua chewing tobacco tersebut dianggar bernilai RM23,600 dengan duti RM42,185.
“Siasatan awal mendapati kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 19 Febuari dan berasal daripada sebuah sebuah negara Asia,” tambahnya.
Terdahulu kelima-lima kes didapati melakukan kesalahan yang sama iaitu membuat pengiktirafan tidak benar.
Raizam berkata, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan berlawanan dengan suatu larangan.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada pihak kastam menerusi Tol Kastam di talian 1-800-88-8855. – MalaysiaGazette
















